Oleh Abdul Halid Abdullah

BATU PAHAT – Kualiti capaian internet dan jenis peranti yang digunakan merupakan faktor utama terhadap keberkesanan pembelajaran dalam talian berdasarkan kaji selidik yang dibuat ke atas pelajar Semester 2, Sesi 2019/2020, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada September lalu.

Ketua projek tersebut, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor berkata keputusan analisa terhadap 80 peratus (1,299) pelajar fakulti yang terlibat dalam kaji selidik tersebut mendapati sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pelajar mempunyai kualiti capaian Internet yang memuaskan manakala sekitar 81 peratus pula sekurang-kurangnya mempunyai tahap penerimaan yang memuaskan terhadap pembelajaran dalam talian.

“Perbandingan antara tahap kualiti capaian internet terhadap tahap kepuasan penerimaan pembelajaran dalam talian (online) mendapati pelajar yang mempunyai tahap kualiti capaian internet yang lebih baik lebih berpuas hati terhadap penerimaan pembelajaran secara online berbanding pelajar yang mempunyai tahap kualiti capaian internet yang lebih rendah.

“Ini memberi gambaran bahawa tahap kualiti capaian internet memainkan peranan penting mengenai keberkesanan pembelajaran dalam talian pelajar,” katanya ketika membentangkan laporan kaji selidik tersebut.

Beliau berkata hasil kaji selidik itu juga mendapati bahawa majoriti pelajar menggunakan komputer riba sebagai peranti semasa pembelajaran dalam talian berbanding peranti lain seperti telefon pintar, komputer meja (desktop) dan tablet.

Dr. Jumadi yang juga Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan berkata pelajar yang menggunakan komputer meja mempunyai tahap penerimaan lebih memuaskan terhadap pembelajaran dalam talian berbanding pelajar yang menggunakan peranti lain.

“Ini berkemungkinan disebabkan penggunaan komputer meja boleh memberikan lebih tumpuan dan keselesaan semasa proses pembelajaran dalam talian dan memberikan indikasi bahawa jenis peranti yang digunakan merupakan antara faktor keberkesanan pembelajaran dalam talian.

“Secara keseluruhannya, kualiti capaian internet yang baik serta penggunaan komputer meja boleh menjadikan pembelajaran dalam talian lebih berkesan dalam kalangan pelajar universiti,” katanya.

 

Kredit Foto: Potential.com/online learning