PAGOH – Bagi meraikan dan memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh, pihak Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Kediaman Pagoh 2 (MKP KKP2) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menganjurkan program ‘Sambutan Semarak Hari Merdeka’ pada 30 dan 31 Ogos lalu bertempat di sekitar Kolej Kediaman Pagoh (KKP).

Program yang diketuai oleh Muhammad Faris Abdul Hadi selaku Timbalan Yang Dipertua 2 MPP UTHM ini melibatkan penyertaan pelajar baharu program diploma dan juga pelajar Politeknik Tun Syed Nasir.

Menurut Faris, program tersebut diadakan bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan dalam kalangan pelajar di samping memupuk rasa cinta mereka pada negara walaupun Malaysia kini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Melihat kepada kejayaan negara yang telah mengecapi kemerdekaan selama 63 tahun, tarikh bersejarah ini perlu disambut dan dihayati sepenuhnya oleh masyarakat terutamanya generasi muda masa kini,” katanya.

Tambah Faris lagi, atas sebab inilah pihak MPP UTHM mengambil inisiatif menganjurkan program sebegini bagi menyemai semula semangat patriotisme dalam kalangan pelajar UTHM.

Antara aktiviti yang dilaksanakan bagi meriahkan sambutan, solat maghrib dan solat sunat secara berjemaah beserta bacaan Yasin, slot Bicara Merdeka bertemakan ‘Penghijrahan ke Arah Kemerdekaan’ oleh Penceramah Jemputan, Dr. Khairul Anuar Kamri, Ahli Jawatankusa Tindakan Perpaduan Negeri Johor, persembahan puisi bertemakan kemerdekaan dan nyanyian lagu kemerdekaan dan laungan ‘Merdeka’ pada detik 12 malam, 31 Ogos.

Turut diadakan aktiviti senamrobik yang disertai oleh 159 peserta, perarakan mengelilingi KKP sambil menyanyikan lagu kemerdekaan, aktiviti sukaneka seperti boling kelapa, street soccer dan explorace, aktiviti melukis logo kemerdekaan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ dan diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap aktiviti yang dipertandingkan.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman Pagoh 2, Muhammad Qusyairi Abdul Rahman. Hadir sama memeriahkan majlis, para pengetua, felo dan juga pembantu felo kolej kediaman Pagoh.

Pihak penganjur berharap program sebegini dapat dianjurkan lagi setiap tahun bagi merancakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan peringkat universiti sekali gus mendidik warga kampus agar lebih menghargai nikmat keamanan yang dikecapi negara selama ini.