BATU PAHAT – Bagi membantu Pelajar Tanpa Asrama (PTA) yang terkandas akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2019/2020, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘Jelajah Kasih – Dari Mahasiswa Kepada Mahasiswa’ pada 17 Julai lalu.

Program yang diketuai Muhammad Farid Abu Samah, selaku Ketua Jabatan Pengaduan Awam dan Fasiliti ini dijalankan secara santai dan menumpukan kepada golongan yang masih berada di rumah sewa masing-masing di sekitar Parit Raja.

Program dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UTHM dan Foodbank Malaysia ini  dianjurkan bertujuan untuk memberikan sedikit sumbangan berupa makanan dan keperluan harian kepada pelajar bagi meringankan beban mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Di samping itu, rumah sewa yang dilawati oleh pihak MPP juga adalah merangkumi pelbagai bangsa di kawasan sekitar Bistari Hostel, Taman Universiti, Parit Jelutong dan beberapa kawasan lagi.

Menurut Farid program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif khas pihak MPP bagi meringankan beban pelajar golongan B40 yang masih berada di rumah sewa.

Melalui program ini, MPP UTHM turut mengambil kesempatan menyalurkan maklumat yang penting dan tepat berkenaan isu-isu berbangkit yang diutarakan oleh pelajar.

Arunraj Kersnansamy, pelajar tahun tiga Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina ketika ditemui melahirkan rasa terima kasih kepada UTHM kerana sentiasa prihatin dengan kebajikan pelajar yang memerlukan bantuan sebegini bagi meringankan beban perbelanjaan masing-masing.

Sementara itu, Farid yang mewakili MPP UTHM juga melahirkan hasrat mereka untuk meneruskan lagi program sebegini pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai lagi pelajar, khususnya yang berada di luar kampus.