Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia pertengahan bulan Disember 2019 lalu, wabak ini seakan berterusan membelenggu penduduk dunia tanpa penemuan sebarang vaksin yang boleh menghapuskan virus ini.  Susulan itu, masyarakat dididik dengan pengamalan norma baharu bagi menghalang penularan wabak ini.

Di samping mematuhi langkah-langkah pencegahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), umat Islam disaran untuk berikhtiar melalui doa dan amalan-amalan harian. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh Allah berserta orang-orang bersabar.”

Doa adalah lafaz puji-pujian untuk memohon sesuatu yang dihajati daripada seorang hamba kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Antara doa-doa yang diamalkan oleh Rasulullah yang dikongsi oleh para alim-ulama   bersandarkan kepada hadith riwayat Tirmizi iaitu Rasulullah S.A.W bersabda “Barangsiapa melihat seorang tertimpa bala, kemudian dia berdoa..Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku dari apa yang Dia timpakan kepadamu (berupa penyakit) dan (segala puji baginya) yang telah melebihkan aku atas hamba-hambaNya, Siapa membaca doa ini, nescaya dia akan diselamatkan dari bala itu selama dia hidup.”

Dari Anas berkata, “Biasa Nabi membaca doa yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung diri padamu daripada (penyakit) gila, kusta, penyakit kulit dan segala penyakit yang buruk (berbahaya)’.”

Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sesiapa yang membaca.. (Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).”

Daripada Abu Hurairah RA berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta)” nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudharatkan kamu.”

Daripada Ibn Umar RA, bahawa aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa tersebut ketika petang dan pagi iaitu..(Ya Allah aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat.”

Di samping doa yang warid daripada nabi, kita juga boleh mengamalkan doa-doa yang diamalkan oleh mufti kerajaan negeri di Malaysia seperti doa berikut yang diamalkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mohd Yusof Hj. Ahmad:

“Ya Allah! Wahai Tuhan kami jauhilah kami daripada wabak yang datang ini dan peliharalah kami daripada segala kejahatan yang merosakkan serta selamatkanlah kami daripada segala fitnah dan penyakit taun serta segala bala’ yang datang.”

Mufti Terengganu pula menganjurkan bacaan doa berikut: “Ya Allah, kalau ada wabak dalam negeri kami, engkau hancurkan, kalau ia dalam masyarakat  kami, engkau  musnahkan,  kalau  ia  dalam  keluarga kami, engkau hindarkan, kalau ia dalam diri kami, engkau lontarkan”.

Di samping berdoa, umat Islam juga disarankan untuk sentiasa solat hajat dan melazimi qunut nazilah agar wabak ini dapat terhapus. Doa qunut nazilah hendaklah dibacakan ketika menunaikan solat fardu iaitu doa untuk menghindari wabak dan penyakit. Kita juga disarankan untuk mengamalkan selawat ke atas Rasulullah S.A.W. Antara selawat yang disarankan adalah selawat syifa’ dan selawat tafrijiah.

Selain daripada selawat ke atas Rasulullah S.A.W, kita juga boleh beramal dengan zikir dan wirid yang telah diamalkan oleh para salafussoleh yang mana ia boleh menjadi perisai buat kita agar dihindari daripada segala penyakit atau perkara-perkara yang tidak baik.

 Di samping melaksanakan langkah-langkah pencegahan, doa dan amalan yang diamalkan dapat menguatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Kelebihan amalan harian ini juga dapat membantu jiwa Muslim untuk kekal tenang dan sentiasa mengharapkan kebergantungan kita kepada Allah SWT.

 

 

Dr. Ahmad Sharifuddin Mustapha

Fokus Group Ilmu Wahyu, Jabatan Pengajian Islam

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Kredit foto: medicalxpress.com