Gabungan teknologi pertanian tepat dan data raya mampu pendekkan masa penanaman

Seiring dengan peredaran zaman, teknologi pertanian terus dipertingkatkan dengan gabungan teknologi pertanian tepat dan data raya yang berupaya untuk memendekkan tempoh penanaman sekali gus mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan...

Seiring dengan peredaran zaman, teknologi pertanian terus dipertingkatkan dengan gabungan teknologi pertanian tepat dan data raya yang berupaya untuk memendekkan tempoh penanaman sekali gus mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan keuntungan petani.

Pertanian tepat atau Precision Agriculture merupakan konsep pertanian moden yang membolehkan petani mengawal aktiviti seperti pembajaan, pengairan dan makhluk perosak melalui penggunaan teknologi Internet of Things (IoT).

Pertanian tepat adalah melakukan dengan betul, pada tempat yang betul, dengan kaedah yang betul dan pada masa yang betul.

Manakala analisis data raya (Big Data) merupakan gabungan daripada kemahiran menggunakan teknik teknologi maklumat yang bersesuaian untuk menganalisis data dan kemahiran dalam memahami maklumat yang dihasilkan.

Ia dapat dirumus dan diterjemahkan dalam bentuk visual yang boleh membantu pengguna untuk membuat sesuatu keputusan.

Gabungan kedua-dua teknologi ini adalah berkonsepkan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dalam pertanian yang berupaya mempercepatkan pengeluaran hasil tanaman.

Kaedah pertanian tepat ini menggunakan gabungan teknologi termasuk sistem kedudukan global (GPS), sensor, dron, kecerdasan buatan (AI) dan data raya.

Dengan gabungan menggunakan teknologi pertanian tepat ini serta pengumpulan pelbagai data secara berstruktur, aktiviti pertanian seperti proses pembajaan dan penyiraman dapat direkodkan dari semasa ke semasa dan pada masa yang sama, keadaan cuaca seperti suhu, jumlah hujan turut dicatatkan.

Pembinaan teknologi grid sensor IoT pintar dipasang di ladang untuk mengukur dan merakamkan kelembapan, tahap keasidan dan kealkalian tanah.

Dengan adanya data menerusi instrumental ini dapat menunjukkan perkembangan kualiti dan nutrisi tanah dari semasa ke semasa selain cuaca semula jadi. Akhirnya data perkembangan tanah dapat direkodkan secara berstruktur.

Hasil dari pertemuan tersebut, satu laporan ramalan dapat dihasilkan, yang memungkinkan pihak berkepentingan untuk membuat keputusan yang tepat mengenai kesuburan tanah pada waktu yang sepatutnya.

Para petani juga dapat menggunakan laporan tersebut untuk meningkatkan pengurusan tanaman antaranya menggunakan teknik pembajaan tepat seperti campuran baja pada kadar betul bagi mempertingkatkan nutrisi tanah, pada tempoh betul dan masa yang betul untuk mempercepatkan hasil pengeluaran hasil.

Kita perlu mencontohi China yang telah menggunapakai teknologi ini secara meluas di China. Menerusi satu laporan berita oleh Huanqiu.com berhubung Data Raya Revolusikan Sektor Pertanian di China, syarikat e-dagang terkemuka, Guizhou Yo Yo Green Agricultural Technology Co., Ltd. telah memanfaatkan gabungan teknologi ini bagi meningkatkan produktiviti dan keuntungan petani.

Pertumbuhan pendapatan yang berikutnya telah mendorong semakin ramai pekebun tempatan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Di Malaysia, gabungan kedua-dua teknologi ini masih belum diterokai sepenuhnya oleh petani. Kebanyakan usaha adalah masih di peringkat penyelidikan. Satu agensi atau syarikat induk seperti di China wajar diwujudkan untuk menggalakkan minat petani menggabungkan dua teknologi ini.

Asasnya, data raya boleh membantu pengoptimuman rantaian nilai, menutup lompang dalam jurang penawaran dan permintaan. Bagi industri perladangan tradisional pula, petani menghantar hasil tuaian mereka kepada pemborong dan peruncit .

Model sedemikian boleh menyebabkan ketidakseimbangan penawaran-permintaan memandangkan tidaklah selalu dapat mengetahui dengan tepat berapa banyak suatu hasil tertentu yang patut disediakan dalam satu jangka masa yang tepat.

Lantaran pengumpulan data yang sah, pekebun tempatan boleh mendapat gambaran yang lebih tepat terhadap operasi mereka. Oleh yang demikian  pekebun boleh memperoleh ramalan yang tepat daripada data raya masa sebenar bagi memaksimumkan tuaian.

Hakikatnya, kejayaan penggunaan data raya dalam pelbagai aspek industri perladangan Guizhou tidak dapat dipisahkan daripada sokongan kerajaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Guizhou mempercepatkan kemajuan pertanian pintar.

Pada masa ini, penanaman  kelapa sawit mengambil masa selama empat tahun, getah selama empat setengah tahun dan nanas kurang dua tahun. Dengan penggunaan teknologi ini, tempoh tanaman komiditi tersebut akan lebih pendek.

Yang pasti, teknologi ini adalah strategi utama bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing serta meningkatkan minat belia untuk menyertai sektor ini sebagai usahawan. Paling penting, industri ini mesti diremajakan dengan penyertaan lebih ramai belia.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) sentiasa memberi galakan kepada kumpulan sasar untuk mengusahakan aktiviti pertanian secara moden dengan aplikasi teknologi dan inovasi.

Inisiatif ini dapat dilihat ketika pembentangan Belanjawan 2020 apabila RM43 juta diperuntukkan ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka berkualiti dan berproduktiviti tinggi, seterusnya memacu ekonomi negara melalui sektor agro makanan.

Dasar Agro makanan Negara 2.0 (2021-2030) serta RMK ke-12 (2021-2025) sedang dirangka turut memberikan tumpuan kepada transformasi sektor ini melalui Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dengan sasaran untuk memberi suntikan lebih moden.

Dengan penggunaan teknologi digital menerusi pertanian tepat dan data raya ini, kecekapan serta produktiviti pertanian dapat dipertingkatkan.

 

Profesor Madya Dr. Elmy Johana Mohammad

Pensyarah Kanan / Ketua Jabatan Komunikasi Korporat

Jabatan Kejuruteraan Elektronik

Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik

Universiti Tun Hussein Onn  Malaysia (UTHM)

 

Categories
E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE