Kreativiti dan Inovasi adalah dua perkataan yang sangat sinonim yang diterapkan dalam kalangan mereka yang berada dalam institusi pengajian tinggi. Malah, dua perkataan ini juga turut sama diadaptasikan dalam silibus pengajaran murid-murid di peringkat persekolahan rendah dan menengah. Pelbagai usaha telah dijalankan secara aktif oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk memupuk dan mengilap kreativiti masyarakat. Namun begitu, ada yang merasakan mencetuskan idea kreatif itu mudah malah ada juga yang merasakan ia agak sukar.  Walau bagaimanapun, sebenarnya kreativiti dan inovasi yang ada pada hari ini adalah cetusan idea lama yang berada dalam masyarakat di peringkat pelbagai umur sejak dari dulu lagi.

 

Kreativiti untuk menyelesaikan permasalahan harian

Masih ingat lagi ketika kita berada dalam alam persekolahan setiap kali musim hujan, kasut atau baju sekolah diletakkan di belakang peti sejuk dengan tujuan supaya lekas kering untuk dipakai keesokannya. Bagi suri rumah tangga pula meletakkan sudu besi di dalam periuk bersama daging yang direbus supaya daging cepat empuk untuk dimakan. Kedua-dua senario ini nampak biasa-biasa sahaja, tetapi idea ini sebenarnya kreativiti yang menyelesaikan masalah harian di rumah. Kreativiti sebegini sebenarnya memberi nilai dalam satu proses inovasi yang lebih sofistikated. Cuba fikirkan bagaimana mesin pengering pakaian dan periuk bertekanan tinggi diilhamkan?

Sekarang cuba fikirkan pula tentang lalat dan cicak. Bagi rakyat Malaysia lalat dan cicak adalah serangga dan haiwan kecil yang sering mengganggu keselesaan ketika berada di rumah. Pelbagai kreativiti dan inovasi telah dihasilkan secara Do it yourself (DIY) menggunakan barangan sedia ada di rumah untuk menghapuskan lalat dan cicak ini, seperti pemukul lalat menggunakan kertas surat khabar dan juga lastik cicak menggunakan gelang getah. Inilah yang dinamakan kreativiti dan inovasi. Kreativiti itu adalah idea untuk menangkap lalat dan cicak menggunakan barangan terpakai manakala inovasi pula adalah bagaimana bentuk alat penangkap itu dibina dari bahan yang dipilih.

 

Idea baru daripada idea lama

Banyak idea baru dalam inovasi kini adalah berdasarkan idea lama yang diperbaiki. Contohnya evolusi pengisar makanan. Pada zaman nenek moyang dahulu, batu giling dan lesung batu merupakan peralatan utama yang digunakan untuk menghancurkan makanan. Kini lesung batu jarang sekali digunakan kerana telah ada mesin pengisar berkuasa elektrik yang lebih mudah dan mempercepatkan proses memasak di rumah. Peralihan inovasi baru juga sama berlaku kepada proses mengisar daging secara memotong menggunakan pisau kepada pengenalan mesin mengisar daging mekanikal yang masih menggunakan tenaga manusia, dan kini kita ada mesin pengisar daging automatik berkuasa elektrik.

Selain itu masyarakat Malaysia dahulu juga telah menginovasi kebanyakan peralatan permainan untuk anak-anak mereka. Ini termasuklah idea untuk penghasilan congkak, batu seremban, lastik dan seumpamanya. Selain itu permainan layang-layang juga yang dahulu hanya dimainkan pada waktu siang sahaja, kini telah diberi inovasi baru dengan menambah pemasangan lampu LED dan boleh dimainkan pada waktu malam dan sudah tentu ini lebih menarik.

Cetuskan idea kreatif dari rumah

Mengambil iktibar daripada proses kreativiti dan inovasi dari rumah ini, idea-idea menarik boleh diilhamkan dari rumah. Tidak semestinya memerlukan pengetahuan yang tinggi, tetapi cukup sekadar minat dan usaha untuk menyelesaikan masalah yang ada di rumah. Biar nampak ringkas dan mudah tetapi boleh memberi manfaat. Apa kata anda mulakan dengan membiarkan anak-anak atau ahli keluarga anda mencipta sesuatu dari rumah, pasti ia menjadi idea dan aktiviti menarik sekeluarga. Selamat mencuba….

 

Oleh :

Munzilah Md. Rohani, Noor Yasmin Zainun & Saifulizan Bukhari

 

 

Kredit foto: artereciclada.com (gambar sekadar hiasan)