Dron pertanian ‘PINEXRI-20’ mudahkan kerja-kerja petani

Penggunaan dron dalam bidang pertanian sudah tidak asing lagi di Malaysia terutamanya untuk penanaman padi. Teknologi seperti ini penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi pertanian berkembang maju sekali gus merealisasikan...

Penggunaan dron dalam bidang pertanian sudah tidak asing lagi di Malaysia terutamanya untuk penanaman padi. Teknologi seperti ini penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi pertanian berkembang maju sekali gus merealisasikan salah satu matlamat pembangunan negara iaitu meningkatkan pendapatan petani, nelayan, penternak dan usahawan tani.

Dalam menyokong usaha kerajaan meningkatkan lagi produktiviti tanaman terutamanya nanas, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah menghasilkan satu dron pertanian yang diberi nama PINEXRI-20. Dron yang berfungsi sebagai alat penyemai baja tiada pengemudi (autonomous) ini dilengkapi dengan perkhidmatan pengurusan berasaskan teknologi IoT (Internet of Thing).

Dron PINEXRI-20 yang berukuran 1.4 meter x 1.4 meter ini merupakan salah satu usaha universiti bagi mengetengahkan penggunaan teknologi penanaman nanas di Malaysia sekali gus membantu meningkatkan produktiviti industri yang berkaitan selari dengan industri-industri yang lain. Bukan itu sahaja, dron ini juga dapat membantu para petani bagi memastikan perlaksanaan teknik pertanian yang tepat digunakan untuk memaksimumkan hasil keluaran mereka.

Dron PINEXRI-20 yang baru sahaja dilancarkan pada 4 Oktober 2020 lalu dilengkapi dengan perkhidmatan pengurusan berasaskan teknologi IoT dan peranti pintar yang mana ianya menggunakan sistem yang telah diprogramkan seperti pemproses, sensor dan alat komunikasi. Sistem tersebut digunakan untuk mengumpul, menghantar dan bertindak balas terhadap data yang diperoleh daripada analisis kawasan tertentu.

Data yang terkumpul akan dihantar kepada peranti yang lain untuk dianalisis. Seterusnya, peranti-peranti tersebut akan berkomunikasi dan bertindak terhadap maklumat yang diperoleh dan mereka akan melakukan sebahagian besar pekerjaan tanpa campur tangan manusia. Walau bagaimanapun, manusia masih boleh berinteraksi dengan peranti tersebut contohnya boleh memberi arahan kepada peranti atau mengakses data di dalam peranti.

Hasil daripada penggunaan teknologi ini, dron tersebut mampu memberikan semburan baja berformulasi lengkap khususnya untuk tanaman nanas. Baja tersebut mempunyai unsur nitrogen, posforan dan kalium yang mana ia amat bersesuaian untuk digunakan kepada semua jenis tanaman nanas. Ringkasnya, kandungan nitrogen, posforan dan kalium yang digunakan untuk tanaman nanas adalah dalam nisbah 30 : 1 : 32. Lazimnya, kadar dan keperluan Baja Campuran Nanas (BCN) oleh pokok setiap kali pembajaan adalah 14 gram sepokok. Jadi, IoT akan memastikan kadar kandungan formulasi baja mencukupi mengikut nisbah BCN.

Di samping itu, dron pertanian tersebut juga mampu melaksanakan kerja penyemburan baja yang tertumpu di ladang pertanian nanas dengan mudah dan pantas. Ini merupakan kelebihan terbesar dalam industri pertanian kerana dapat melakukan pelepasan dan pendaratan menegak yang menjadikannya mampu beroperasi dalam kawasan yang terhad tanpa memerlukan landasan pacu.

Selain itu ia juga mempunyai kebolehan untuk melayang pada satu sasaran, lalu menjadikan ia sangat relevan untuk digunakan dalam sektor pertanian. Hal ini kerana dron tersebut perlu berada dalam posisi yang tetap dan tepat untuk jangka masa yang panjang.

PINEXRI-20 ini mempunyai kelebihan tersendiri apabila ia mampu membawa maksimum 10 liter baja yang dapat disembur pada keluasan 810 meter persegi. Dron ini juga berupaya melakukan satu penerbangan lengkap selama lapan minit. Kelebihan ini dapat membantu para petani untuk membaja dengan lebih cepat dan efektif.

Penggunaan dron berteknologi canggih seperti PINEXRI-20 ini dapat mengurangkan beban syarikat-syarikat pertanian yang baru ditubuhkan kerana mereka tidak perlu lagi menggunakan tenaga pekerja yang ramai, sekali gus dapat menjimatkan lagi kos belanjawan mereka. Para petani kini tidak perlu lagi risau melakukan kerja-kerja tani untuk tanaman mereka kerana dron ini mampu melakukan kerja-kerja seperti membaja dan menyiram di kawasan yang luas, terpencil atau berisiko.

 

 

 

Ts. Dr. Omar Mohd Faizan Marwah

Ketua Jabatan Kejuruteraan Pembuatan / Pensyarah Kanan

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Categories
E-WacanaPenyelidikan dan InovasiProdukRencana

RELATED ARTICLE