39 Pegawai Kadet ditauliah dalam Majlis Pentauliahan Kor SISPA 2020

BATU PAHAT, 26 Sept 2020 – Seramai 39 Pegawai Kadet dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah ditauliahkan dalam Majlis Pentauliahan Kor Siswa...

BATU PAHAT, 26 Sept 2020 – Seramai 39 Pegawai Kadet dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah ditauliahkan dalam Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) bagi tahun 2020 yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Majlis pentauliahan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada tahun ini telah diadakan secara berasingan di institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing atau gabungan di antara IPT dengan kapasiti yang minimum mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurut Mej. Bersekutu (PA) Ahmad Khirul Nizam Ali, UTHM berbesar hati menganjurkan majlis pentauliahan pada tahun ini kerana Kor SISPA UTHM menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-10.

Tambah beliau, sejak penubuhannya pada 13 April 2010, seramai 348 Pegawai Muda Kor SISPA UTHM telah ditauliahkan sehingga ke hari ini.

Majlis pentauliahan yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dr. Mohd Zabri Yusoff selaku wakil rasmi Menteri KPT ini diadakan bertujuan menzahirkan penghargaan atas kejayaan Pegawai Pasukan APM (Kor SISPA) yang berjaya mengharungi latihan bersama selama tiga tahun.

Turut diadakan, majlis makan malam bagi meraikan kesemua Pegawai Kadet yang ditauliahkan dan juga petugas barisan hadapan Kor SISPA yang terdiri daripada Pegawai Muda dan Pegawai Kadet yang turut sama bertugas memerangi penularan Covid-19 di kampus dan dalam negara.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri KPT, Dato’ Dr. Noraini Ahmad yang sekali gus turut merasmikan sambutan ulang tahun ke-10 Kor SISPA UTHM.

Beliau dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada mereka yang berjaya ditauliahkan, dengan harapan mereka akan terus berkhidmat dan menabur bakti dalam APM bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia lebih terjamin.

“Semoga segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang penglibatan dalam Kor SISPA ini dapat digunakan untuk kesejahteraan masyarakat di samping mengangkat martabat APM sebagai agensi pertahanan awam utama di negara ini,” katanya.

Hadir sama, Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Roslan Wahab; Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly; Timbalan-timbalan Naib Canselor UTHM dan Pegawai-pegawai Kanan dari APM, KPT, UTHM dan UTM.

Bersempena majlis pentauliahan ini juga, satu program gotong royong perdana telah dijalankan di Parit Raja, Batu Pahat bertujuan mengeratkan lagi hubungan Kor SISPA UTHM dengan masyarakat setempat. Program ini juga diadakan bagi memberi nilai tambah kepada Pegawai Kadet terbabit sebelum bergraduan selain memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri mereka.

 

 

 

Categories
Anugerah, Pencapaian dan Pengiktirafan

RELATED ARTICLE