441 staf terima anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019

Seramai 441 orang staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang berlangsung secara atas talian pada 26 Ogos lalu. 189 staf...

Seramai 441 orang staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang berlangsung secara atas talian pada 26 Ogos lalu.

189 staf telah terpilih menerima APC manakala selebihnya menerima anugerah lain seperti Anugerah Jasa Bakti (153), Anugerah Taat Setia (53), Anugerah Khas Panel Pembangunan Sumber Manusia (45) serta Anugerah Cuti Belajar (1).

Majlis ringkas yang disiarkan secara langsung bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad, Pendaftar, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Encik Naim Maslan merangkap Pengerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019.

Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerima-penerima anugerah walaupun sambutan pada kali ini agak berbeza dari tahun-tahun sebelum kerana mengikut norma baharu yang ditetapkan oleh kerajaan berikutan negara masih dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya berharap agar pengiktirafan dan penghargaan seumpama ini dapat melonjakkan lagi motivasi staf untuk menjadi insan yang bersahsiah dan berkualiti, di samping mampu menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk bekerja dengan lebih komited.

“Anugerah ini bukan sekadar pendorong atau pengiktirafan, bahkan diharap dapat menjadi nadi penggerak dan peneraju kepada perubahan positif dalam mewujudkan budaya kecemerlangan di tempat kerja,” katanya.

Untuk rekod, majlis yang menjadi acara tahunan universiti ini dianjurkan saban tahun bertujuan mengiktiraf dan menghargai pencapaian prestasi dan produktiviti kerja cemerlang yang telah disumbangkan oleh warga kerja UTHM.

Semua staf dan penerima anugerah mengikuti majlis ini secara langsung melalui medium media sosial rasmi universiti di Facebook dan Youtube.

Categories
Anugerah, Pencapaian dan Pengiktirafan

RELATED ARTICLE