Cabaran baharu mahasiswa jalani latihan industri di era pandemik COVID-19

Awal tahun ini kita digemparkan dengan kehadiran pandemik COVID-19 yang bukan sahaja menjejaskan sektor ekonomi dunia malah sektor pendidikan juga turut merasa tempiasnya. Merujuk kepada kedua-dua bidang ini, bukan...

Awal tahun ini kita digemparkan dengan kehadiran pandemik COVID-19 yang bukan sahaja menjejaskan sektor ekonomi dunia malah sektor pendidikan juga turut merasa tempiasnya. Merujuk kepada kedua-dua bidang ini, bukan sekadar majikan dan pekerja sahaja yang berdepan dengan cabaran bahaya pandemik, namun ia juga telah memberi impak kepada mahasiswa yang menjalani latihan industri.

Program latihan industri tidak asing lagi bagi mahasiswa yang mengikuti program di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi di Malaysia mahupun di luar negara. Fasa ini sangat signifikan kepada mahasiswa dalam mendedahkan mereka kepada gambaran sebenar alam pekerjaan.

Pelbagai cabaran baharu wujud di era pandemik ini sehingga menuntut semua pihak melaksanakan beberapa norma baharu. Pelaksanaan latihan industri dengan norma baharu dan amalan ‘3S’ iaitu mengelakkan berada di ruang yang sempit, menjauhkan diri di tempat yang sesak dan mengawasi penjarakan serta mengelakkan bersembang secara dekat perlu difahami dan diamalkan secara menyeluruh.

Selari dengan hal tersebut, mahasiswa perlu mengambil langkah-langkah yang bijak sebelum, semasa dan selepas menjalankan latihan industri bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara selamat. Selain itu, dalam memastikan mereka tidak berdepan dengan sebarang masalah di kemudian hari, mahasiswa juga perlu mengetahui kelayakan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh institusi pengajian masing-masing.

Namun begitu akibat krisis COVID-19 ini, pelbagai amalan baharu termasuklah kaedah komunikasi dan penilaian secara atas talian telah menjadi kaedah alternatif bagi menggantikan kaedah bersemuka sepertimana amalan sebelum ini.

Dalam pada itu, pelbagai persediaan perlu dipertimbangkan oleh mahasiswa dalam menempuh dunia pra-pekerjaan terutamanya di era pandemik ini. Minda yang cergas tidak memadai tanpa fizikal yang sihat dalam melaksanakan tugasan oleh pihak majikan.

Kini mahasiswa yang menjalani latihan industri berdepan dengan cabaran, bahaya dan risiko yang berbeza. Dalam melaksanakan tugasan di makmal, di tapak projek mahupun di pejabat, amalan-amalan dan prosedur-prosedur yang telah digariskan dalam era pandemik ini seperti pemakaian topeng muka, penggunaan hand sanitizer, penjagaan kebersihan ruang kerja dan penjarakan sosial perlu diamalkan secara konsisten.

Seperkara lagi, pastinya ‘masa’ menjadi sangat berharga dalam pasca COVID-19 ini, yang mana kebanyakan majikan baru sahaja dibenarkan untuk beroperasi semula setelah hampir tiga bulan operasi terpaksa diberhentikan atas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan. Berdasarkan situasi ini, mahasiswa perlu mematuhi tempoh masa yang ditetapkan oleh pihak majikan dalam melunaskan setiap tugasan bagi membantu perjalanan operasi syarikat dan keuntungan syarikat tidak terjejas.

Dalam berdepan dengan dunia yang semakin mencabar, mahasiswa tidak boleh hanya duduk diam dan bergoyang kaki dalam zon selesa dengan bergantung sepenuhnya berlandaskan ilmu dalam kuliah semata-mata.

Penerokaan cabang-cabang ilmu yang baharu serta penguasaan kemahiran-kemahiran dalam menggunakan teknologi dan perisian-perisian terkini seperti Microsoft Office, Adobe, AutoCAD, Revitt dan Microsoft Projects adalah sangat perlu. Ia bukan sahaja antara komponen teras penilaian prestasi dalam latihan industri tetapi juga elemen utama dalam memenuhi kehendak majikan di era pandemik.

Sungguhpun pandemik COVID-19 ini boleh dianggap suatu perkara di luar jangkaan, mahasiswa perlu berani untuk meneruskan langkah sehingga tamat latihan industri dengan bersikap lebih positif, disiplin yang tinggi, lebih berdikari dan mampu bekerjasama secara kolaboratif. Ibarat kata pepatah ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’.

Namun begitu, pelbagai pihak seperti pusat-pusat pengajian tinggi dan majikan sama ada sektor awam mahupun swasta haruslah seiring dan berganding bahu dalam membantu kelancaran proses latihan industri. Hal ini perlu agar ia selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kesediaan majikan menyediakan platform kepada mahasiswa yang menjadi ‘permata’ dalam pembangunan negara pada masa hadapan juga perlu dinilai semula secara terperinci. Terutamanya dalam aspek teknologi dan motivasi. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan mahasiswa, namun ia juga faktor utama yang menyumbang dalam pembentukan modal insan lebih kreatif, kritikal, inovatif dan juga kompetitif.

 

 

Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Ketua Focus Group-Sustainable Infrastructure Management (SIM)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
covid-19E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE