Kelestarian pendidikan dan kebolehpasaran graduan pasca Covid-19

Kehadiran virus Covid-19 telah memberi impak yang besar bukan sahaja terhadap pembangunan sosial dan kesihatan manusia sejagat, malah pembangunan ekonomi seluruh dunia juga terkesan dengan penularan wabak ini. Pembangunan...

Kehadiran virus Covid-19 telah memberi impak yang besar bukan sahaja terhadap pembangunan sosial dan kesihatan manusia sejagat, malah pembangunan ekonomi seluruh dunia juga terkesan dengan penularan wabak ini. Pembangunan ekonomi di era globalisasi ini banyak bergantung kepada kemampuan intelek untuk mencetus idea dan inovasi dalam bidang teknikal dan saintifik yang meletakkan sains, teknologi dan kejuruteraan lebih ke hadapan berbanding bidang-bidang lain seperti perubatan, seni reka, sains sosial dan kemanusiaan. Kini telah terbukti inovasi dalam industri menjadi sangat penting bagi mana-mana negara di seluruh dunia kerana peluang pekerjaan telah meningkat untuk bakat dan kemahiran baharu selaras dengan perkembangan revolusi industri keempat.

Industri keempat biasanya disebut sebagai revolusi industri 4.0 dan kemahiran baharu yang diperlukan untuk era ini adalah lebih menjurus kepada trend automasi dan pertukaran data semasa, dalam teknologi pembuatan serta perkhidmatan yang berkaitan dengannya. Ia merangkumi sistem fizikal siber, perkara berkaitan internet, pengkomputeran awan dan pengkomputeran kognitif. Hampir setiap industri yang mempunyai pengaruh yang besar dalam penjanaan ekonomi sesebuah negara, dipengaruhi oleh kekuatan teknologi yang sebenarnya secara diam-diam menjelmakan revolusi industri 4.0 ke serata pelosok dunia. Sebenarnya, pakar ekonomi dan para usahawan dunia telah memerhatikan perubahan besar ini ketika mereka mencari strategi baharu untuk mengembangkan perniagaan secara global.

Secara kebetulan, peluang yang timbul daripada kemunculan covid-19 telah memberi ruang kepada industri 4.0 untuk diterima dengan baik oleh masyarakat dunia. Belum pernah ada waktu yang sebaik ini untuk industri 4.0 berkembang pada tahap yang memberangsangkan sebelum ini. Dalam tempoh 18 bulan hingga dua tahun akan datang, kemajuan dalam teknologi digital akan berkembang dengan pantas secara eksponensial setara dengan kemajuan yang telah dicapai sejak awal zaman komputer. Perisian pintar memecahkan halangan untuk menyembunyikan maklumat apabila data boleh berada di mana sahaja kerana semuanya telah diproses secara digital dengan pantas dalam talian. Ini merangkumi apa yang kita suka, siapa yang kita ikuti, dengan siapa kita berkomunikasi serta bagaimana kita membeli.

Demi masa depan perniagaan dalam teknologi baharu, inilah masa yang harus dimanfaatkan oleh para graduan untuk bersedia dengan menyiapkan diri mengikuti kemahiran yang relevan untuk menghadapi revolusi industri ini. Sejak dahulu bakat manusia tetap menjadi faktor penting dalam pertumbuhan ekonomi dan dianggap sama pentingnya dengan sumber ekonomi dan sosial yang lain. Bezanya cuma ialah di era revolusi industri 4.0, bakat kemahiran yang diperlukan kini telah menjadi sangat berbeza dengan bakat kemahiran sumber manusia terdahulu. Kebolehpasaran graduan era revolusi industri 4.0 kini bukan sahaja menekankan kepada mengembangkan kemahiran berfikir dan teknikal yang tinggi malah lebih daripada itu dengan turut menekankan pentingnya memupuk kemahiran menyelesaikan masalah dan inovasi digital.

Malaysia sangat bertuah kerana kesedaran para intelek dan pendidik terhadap pendidikan teknikal dan vokasional telah tercetus sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan menghasilkan program pendidikan teknikal berimpak tinggi hasil daripada kesedaran dan wawasan pemimpin negara yang mampu melihat keperluan tersebut pada masa hadapan. Sehingga kini banyak institusi pengajian tinggi dalam negara telah menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi luar negara dengan membawa sinergi menghasilkan graduan yang kompeten di peringkat global.

Pendekatan negara melalui Kementerian Pengajian Tinggi yang menghantar pendidik melanjutkan pengajian ke luar negara di peringkat pengajian yang lebih tinggi seperti sarjana dan doktor falsafah sebelum ini adalah satu langkah berani dalam memberi peluang berlakunya pemindahan ilmu dan teknologi untuk jangka masa panjang. Transformasi ini telah menjadi platform yang berfungsi sebagai medium asimilasi pendidikan dan teknologi di antara ahli akademik dan pendidik tempatan dengan rakan akademik mereka di luar negara. Sedar tidak sedar kesarjanaan para pendidik kini telah memberi impak yang besar kepada para graduan dalam negara dari aspek kesediaan menghadapi era globalisasi revolusi industri 4.0. Menjangkau lebih daripada itu, amalan penyelidikan dan penemuan empirikal mereka bersama graduan pasca siswazah tempatan kini bertaraf dunia dan diiktiraf oleh banyak negara.

Agenda kerajaan dalam menghasilkan modal insan yang holistik, berpendapatan tinggi dan menjadi masyarakat abad ke-21 berkemajuan teknologi revolusi industri 4.0 bukanlah suatu angan-angan malah telah menjadi ‘frontliner” kepada modal insan pencetus penjanaan ekonomi negara selaras dengan pembangunan lestari yang diimpikan rakyat dan negara kepada suatu anjakan nilai yang baharu.

Sebagai kesimpulannya transformasi nasional melalui pendidikan yang dinamik dan fleksibel jangka panjang telah membantu memperkasakan modal insan negara dan merubah Malaysia menjadi sebuah negara aman yang kaya dengan nilai ekonomi dan sosial berteraskan sains dan teknologi.

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Hj Lokman Hakim Hj Ismail

Jabatan Senibina

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Categories
E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE