Hikmah PKP: Bila alam berbicara melalui kualiti udara dan air

Alam sekitar didefinisikan sebagai keadaan sekeliling atau lingkungan yang terdiri daripada segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semulajadi di permukaan bumi.  Kestabilan alam sekitar akan dikecapi...

Alam sekitar didefinisikan sebagai keadaan sekeliling atau lingkungan yang terdiri daripada segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semulajadi di permukaan bumi.  Kestabilan alam sekitar akan dikecapi jika interaksi di antara organisma dengan organisma yang lain juga interaksi di antara organisma dengan persekitarannya berada di paras keseimbangan. Walau bagaimanapun ketidak seimbangan sistem tersebut akan menyebabkan ketidakselesaan hidup atau lebih dikenali sebagai masalah pencemaran air, udara, kepanasan global serta penambahan longgokan sampah sarap.

Isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim-Kim pada 7 Mac 2019 merupakan satu tragedi pencemaran air yang menjadi satu ingatan buat semua masyarakat di Malaysia terutamanya penduduk di kawasan Pasir Gudang, Johor. Isu ini disebabkan oleh pembuangan sisa bahan kimia yang tidak terkawal di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang. Tragedi tersebut juga telah menjejaskan 6000 penduduk di kawasan tersebut serta 2775 orang telah dilaporkan mendapat rawatan di hospital. Apa yang lebih menyedihkan apabila kebanyakan mangsa yang menerima kesan tersebut terdiri daripada para pelajar dari 111 buah sekolah yang terletak berhampiran dengan Sungai Kim-Kim. Walaupun kejadian tersebut dilihat sebagai satu pengajaran yang amat penting bagi semua industri yang terlibat dalam memacu ekonomi Malaysia agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tetapi kadang-kala kerakusan manusia mengejar kemajuan menidakkan kemampuan alam sekitar yang tidak lagi boleh menerima beban pencemar di dalam sistem sungai. Fungsi semula jadi sungai untuk melakukan self purification akan terhalang sekiranya pelbagai beban pencemar memasuki jasad sungai..

Selain daripada sungai ancaman juga berlaku di persekitaran marin apabila aktiviti manusia di persekitaran pantai terutama pada hujung minggu sering kali meninggalkan sisa pepejal plastik yang sifatnya tidak terbiodegradasi secara semulajadi. Longgokan sampah itu akan memasuki persekitaran marin dan mengganggu hidupan marin. Kadangkala sampah plastik tersebut juga tersekat pada akar-akar pokok bakau yang merupakan ekosistem untuk ikan-ikan dan hidupan laut bertelur.

Pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya juga pembuangan asap industri yang tidak terkawal turut menjejaskan kualiti alam sekitar melalui pencemaran udara.  Situasi kesesakan dan kepanasan ini sering berlaku di bandar-bandar besar juga kawasan-kawasan perindustrian di seluruh negara. Pertambahan gas-gas rumah hijau daripada pelbagai aktiviti antropogenik ini dilihat mampu meningkatkkan kepanasan global secara tidak langsung. Kejadian ini menjadi lebih buruk dan berakhir dengan fenomena jerebu di seluruh negara terutamanya apabila berlaku perubahan angin monsun dengan musim kemarau yang berpanjangan. Jerebu sering berlaku apabila debu dan asap zarah berkumpul di udara yang kering. Apabila keadaan cuaca menghalang penyebaran asap dan bahan cemar lain, ia akan memekat dan membentuk tabir rendah yang biasanya tergantung rendah yang menjejaskan penglihatan dan mungkin menjadi ancaman kepada kesihatan terutamanya pernafasan. Semasa berlakunya jerebu, pelepasan asap daripada industri pula boleh menyebabkan jerebu menjadi tebal.

Perintah kawalan pergerakan bagi menyekat penularan virus Covid-19 yang berlaku di seluruh negara bermula 18 Mac lalu telah menghentikan pelbagai operasi dan aktiviti termasuk perindustrian, pelancongan, perniagaan dan pelbagai aktiviti yang tidak bersifat perkhidmatan perlu. Langkah kerajaan ini juga secara tidak langsung telah mengurangkan bilangan kenderaan yang berada di atas jalanraya. Selama ini tidak pernah berlaku satu pengurangan drastik jumlah kenderaan yang berada di jalanraya walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan terutamanaya di bandar-bandar besar bagi mengelakkan kesesakan jalan raya yang juga menjadi penyumbang kepada masalah pencemaran udara.

Rekod Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dilaporkan oleh Jabatan Alam sekitar melalui APIMS menunjukkan bacaan IPU di seluruh negara berada dalam keadaan baik dan sederhana bermula kerajaan mewartakan PKP pada 18 Mac lalu. Bacaan ini menunjukkan satu penurunan yang amat ketara terutamanya di bandar-bandar besar juga kawasan perindustrian di seluruh Malaysia.  Analisis kualiti udara yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar bermula 18 Mac hingga 28 April 2020 menunjukkan sebanyak 26% peningkatan IPU bagi bilangan hari bersih dan penurunan 19% bagi bilangan hari sederhana di seluruh Malaysia semasa PKP ini dikuatkuasakan. Jabatan Alam Sekitar juga melaporkan penurunan parameter utama iaitu nitrogen dioksida, sulfur dioksida, karbon monoksida, dan habuk halus bersaiz diameter 2.5 mikron di stesen-stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara. Menurut JAS tren penurunan ini susulan dengan penurunan bilangan kenderaan motor di jalan raya, pengurangan pelepasan asap kenderaan, pengurangan aktiviti perindustrian yang tidak melepaskan asap daripada cerobong industri dan juga pembakaran terbuka sepanjang tempoh PKP.

Laporan daripada Jabatan Meterologi Malaysia menyatakan negara kini berada dalam fasa peralihan monsun yang berterusan sehingga pertengahan Mei 2020. Menurut Jabatan Meterologi, dalam rempoh ini keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutamanya waktu petang dan awal malam di kebanyakan negeri-negeri di pantai barat dan pendalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak yang mana keadaan ini sedikit sebanyak akan menurunkan kadar pencemaran udara di dalam negara.

Bagi orang awam, kualiti udara yang lebih bersih ini dapat diterjemahkkan dengan pandangan awan yang sangat cantik berwarna biru serta bersih. Ketenangan situasi pemandangan langit tersebut telah dirakamkan oleh pelbagai golongan masyarakat dan dapat diihat di media sosial. Kesegaran pokok-pokok dengan kicauan burung-burung di waktu pagi ini diharapkan menjadi sumber ketenangan semasa menghabiskan masa menjalani tempoh PKP di rumah masing-masing. Perintah kawalan pergerakan ini diharapkan dapat mengimbangi semula kesan pemanasan global agar bumi Malaysia yang kita cintai ini dapat merasai proses pengurangan gas-gas rumah hijau yang buat sementara ini dapat dikurangkan dengan terhentinya operasi pelbagai industri dan pengurangan bilangan pengangkutan. Walaupun kerajaan telah mewartakan PKPB bermula pada 4 Mei lalu dengan membenarkan pelbagai sektor ekonomi dibuka semula, bacaan IPU yang direkodkan oleh APIMS masih menunjukkan keadaan baik dan sederhana.

Perintah kawalan pergerakan ini juga dilihat dapat memberi impak positif dalam mengurangkan pencemaran air. Laporan daripada JAS menunjukkan pada 18 Mac hingga 14 April 2020 pemantauan kualiti air di 29 stesen pengawasan kualiti air automatik, lapan stesen iaitu 28 peratus menunjukkan kualiti air sungai bertambah baik. Pemberhentian pelbagai operasi yang bukan perlu seperti kerja-kerja tanah projek pembinaan, perindustrian juga pelbagai aktiviti yang mampu menjejaskan kualiti dan kuantiti jasad air secara tidak langsung dapat mengurangkan beban pencemar yang masuk ke dalam jasad air.

Walaupun selama ini kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif berkaitan pembersihan sungai juga kempen kesedaran untuk mencintai sungai terutamanya untuk pelbagai kegiatan ekonomi yang berada di sepanjang sungai tetapi malangnya langkah tersebut belum sepenuhnya dapat menunjukkan impak positif kepada keseluruhan ekosistem sungai di seluruh negara . Pada ketika ini juga data-data yang diambil oleh badan-badan kerajaan dapat dijadikan satu baseline yang sangat baik dalam menentukan punca-punca pencemaran jasad sungai. Terhentinya pelbagai operasi ini dapat memastikan aliran air daripada bahagian hulu sungai dapat mengalir ke hilir dan menjadi sumber air yang lebih baik terutamanya bagi loji-loji rawatan (direct intake) yang berada di sepanjang sungai. PKP ini juga diharapkan dapat menyelesaikan masalah bekalan air di beberapa negeri yang mana sumber utama air mengalami pencemaran bahan asing yang masuk ke jasad sungai melalui pencemaran bertitik (point source) atau tidak bertitik (non point source). PKP akibat Covid-19 dilihat dapat memberikan hikmah yang luar biasa terhadap alam sekitar terutamanya dalam peningkatan kualiti udara dan air.

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Norzila Othman

Pengarah Pusat Inovasi Dan Pengkomersilan

Fakulti Kejuruteraan Awam Dan Alam Bina, UTHM

Categories
covid-19E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE