Aktiviti fizikal merangkumi kesemua aktiviti rekreasi, aktiviti sukan, berbasikal dan berjalan kaki serta aktiviti yang anda lakukan di tempat kerja atau di sekitar rumah anda. Bahkan aktiviti seperti membersihkan rumah, berkebun, mencuci kereta merupakan  sebahagian daripada aktiviti fizikal yang aktif.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah masuk ke fasa ketiga dalam mengawal penyebaran wabak pandemik Covid-19 menyebabkan pergerakan kita sangat terhad. Penting bagi kita untuk sentiasa kekal aktif walaupun hanya melakukan gerakan fizikal selama tiga hingga lima minit seperti berjalan atau regangan kerana ia membantu mengurangkan ketegangan otot, melegakan ketegangan mental dan meningkatkan peredaran darah dan aktiviti otot.

Melakukan aktiviti fizikal yang kerap banyak memberi manfaat kepada tubuh dan minda kita. Ia dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit seperti tekanan darah tinggi, kanser, kencing manis serta dapat membantu menguruskan berat badan dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

Kajian yang dibuat sebelum ini juga mendapati melakukan aktiviti fizikal dapat membantu “flush-out” bakteria keluar dari paru-paru dan saluran pernafasan, sekali gus mampu mengurangkan risiko mendapat selesema ataupun demam. Senaman boleh menyebabkan perubahan pada antibodi dan sel darah putih dalam tubuh badan kita. Sel darah putih merupakan sel untuk sistem imunisasi badan melawan penyakit.

Pada masa yang sama, aktiviti fizikal juga membantu meningkatkan kekuatan tulang dan otot serta meningkatkan keseimbangan, kelenturan dan kecergasan. Golongan warga tua yang mengekalkan aktiviti fizikal secara aktif dapat mempertingkatkan keseimbangan dalam mencegah daripada mengalami kecederaan.

Untuk golongan kanak- kanak pula aktiviti fizikal yang teratur membantu menyokong pertumbuhan dan perkembangan yang sihat dan dapat mengembangkan kemahiran pergerakan asas serta membina hubungan sosial. Aktiviti fizikal yang kerap pada masa yang sama dapat meningkatkan kesihatan mental dan dapat mengurangkan risiko kemurungan.

Untuk kekal aktif semasa menempuhi tempoh PKP adalah sesuatu yang agak mencabar bagi kita semua. Oleh kerana peluang untuk kekal aktif secara fizikal nampaknya lebih terbatas, adalah penting bagi kita untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa supaya masa yang dihabiskan untuk bergerak lebih banyak daripada duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa.

Oleh itu, perkara pertama yang boleh kita lakukan untuk sentiasa kekal aktif adalah cuba untuk mengurangkan penggunaan masa yang lama untuk duduk, sama ada ketika bekerja (Work From Home), belajar, menonton TV, membaca atau mengadap telefon pintar. Kurangkan duduk untuk jangka masa yang lama dengan berehat seketika selama tiga hingga lima minit bagi setiap 20 hingga 30 minit. Dalam tempoh berehat pendek tersebut cukup hanya berdiri dan melakukan sedikit aktiviti regangan atau lebih baik lagi, berjalan-jalan di sekitar rumah atau naik dan turun tangga. Dengan hanya bergerak dan melakukan aktiviti regangan anda dapat membantu sedikit sebanyak mempertingkatkan kesihatan diri anda.

Selain itu, rutin harian juga boleh disusun secara teratur dalam memastikan anda kekal aktif setiap hari dengan merancang aktiviti fizikal atau mengikuti kelas kecergasan dalam talian, mengatur masa untuk menjalankan aktiviti senaman di atas talian bersama rakan-rakan atau mengatur masa untuk menjalankan aktiviti fizikal bersama ahli keluarga. Mengamalkan aktiviti fizikal sebagai rutin harian untuk kekal aktif merupakan satu solusi yang baik bagi menyesuaikan diri dengan tempoh PKP ini.

Akhir sekali penulis mencadangkan kita menyediakan satu matlamat untuk diri sendiri ataupun matlamat keluarga supaya terus kekal aktif dengan mempelbagaikan aktiviti fizikal dan menetapkan tempoh masa yang diperuntukkan. Mungkin juga boleh meminta setiap ahli keluarga untuk menetapkan matlamat mereka sendiri ataupun membuat satu cabaran yang realistik supaya anda terus bermotivasi untuk kekal aktif. Catatkan kemajuan anda dan ahli keluarga dan lebih baik jika sediakan sedikit penghargaan kepada mereka yang dapat menyempurnakan cabaran dengan cemerlang.

Siapa yang menentukan diri anda untuk kekal aktif? Ya..diri anda sendiri! Stay Safe, Stay at Home and Workout at Home.

 

Dr. Mohd Zulfadli Rozali

Pensyarah Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional/Jurulatih Sukan