Mulai 15 April 2020, bermulalah fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara akibat daripada penularan pandemik COVID-19 yang meresahkan semua. Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, negara kita berpeluang untuk memenangi peperangan menentang wabak ini dalam fasa ketiga ini.

Beliau dalam kenyataannya menegaskan untuk mencapai kemenangan ini kerjasama daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan. Kemenangan ini amat penting bagi membuka jalan untuk membolehkan rakyat menjalani semula kehidupan harian, institusi-institusi pendidikan dapat dibuka semula, aktiviti keagamaan di masjid-masjid dapat kembali diimarahkan, kegiatan ekonomi dan perniagaan kembali pulih walaupun semua ini akan dilakukan mengikuti kebiasaan yang baru (new normal) seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

Namun, apa yang merisaukan ialah berlakunya insiden perlanggaran PKP dalam kalangan rakyat Malaysia terutama di penghujung PKP Fasa dua. Ini termasuklah kes-kes seperti tidak menjaga jarak sosial, keluar beramai-ramai bersama ahli keluarga semasa membeli belah dan kenderaan kembali berpusu-pusu di beberapa kawasan. Malah, beberapa aktiviti perniagaan sudah mula dibenarkan untuk beroperasi seperti kedai gunting rambut yang akhirnya telah ditarik balik atas bantahan orang ramai. Ketika statistik kes COVID-19 mula menunjukkan tanda-tanda keadaan akan menjadi baik, insiden-insiden yang berlaku ini menunjukkan seolah-seolah ada sesetengah warga Malaysia yang mula mengambil ringan arahan PKP dan bertindak melanggar peraturan yang telah digariskan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia.

Suasana ini mengingatkan penulis kepada sebuah peristiwa semasa peperangan Uhud yang merupakan peperangan besar yang kedua di zaman Rasulullah SAW. Pada awalnya, tentera Islam telah berjaya mencapai kemenangan menentang pihak Quraish. Keadaan ini telah menyebabkan segolongan tentera Islam yang ditugaskan sebagai pemanah melakukan kesilapan dengan meninggalkan kubu pertahanan.  Tindakan ini bertentangan dengan arahan daripada Nabi supaya tidak berbuat demikian. Kesilapan ini telah digunakan oleh tentera Quraish untuk menyerang balas dan menumpaskan tentera Islam.

Antara pengajaran yang penting yang dapat diambil dari kisah ini ialah pentingnya untuk mentaati perintah ketua. Dalam konteks sekarang, pihak kerajaan sebagai penguasa yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah beberapa kali memberi arahan supaya kita duduk dan kekal berasa di rumah (stay at home). Kepatuhan pada arahan ini telah mula menunjukkan kejayaan. Bagaimanapun, amat dikhuatiri sikap tidak taat dalam kalangan segolongan warga Malaysia akan membawa ketewasan kita dalam peperangan menentang wabak COVID-19. Justeru, taatilah arahan pemerintah, duduklah di rumah dan jangan diambil ringan wabak yang sedang melanda. Semoga kita berjaya dalam peperangan ini.

 

 Dr. Azmi Abdul Latiff

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

*gambar ehsan google