PENTAS UTHM iktiraf kecemerlangan Pegawai Tadbir universiti

Batu Pahat – Kecemerlangan Pegawai Tadbir Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diiktiraf apabila Persatuan Pegawai Pentadbir dan Ikhtisas (PENTAS) mengambil inisiatif menganjurkan Anugerah Pentadbir 2019 pada 1 Mac...

Batu Pahat – Kecemerlangan Pegawai Tadbir Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diiktiraf apabila Persatuan Pegawai Pentadbir dan Ikhtisas (PENTAS) mengambil inisiatif menganjurkan Anugerah Pentadbir 2019 pada 1 Mac lalu, bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk UTHM.

Anugerah tersebut telah membariskan beberapa pegawai sebagai penerima anugerah mengikut kategori yang dipertandingkan sekali gus mereka akan menjadi calon untuk mewakili universiti ini ke Konvensyen Pentadbir peringkat universiti awam yang akan diadakan tidak lama lagi.

Hawa Omar telah dinobatkan sebagai pemenang pertama bagi kategori Anugerah Kepimpinan Perdana, manakala Siti Solehah Tenah meraih Anugerah Pentadbir Harapan dan Dr. Aspalela Abdullah pula meraih Anugerah Penyelidikan.

Sementara itu, Ts Azamuddin Rasidi meraih Anugerah Kreativiti dan Inovasi, Rosdi Abdullah meraih Anugerah Penulisan, Ahmad Shah Rahim meraih Anugerah Khidmat Komuniti dan Hairul Nizat pula meraih Anugerah Sukan.

Bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan yang dicapai pegawai sepanjang tempoh perkhidmatan, majlis tersebut juga menyaksikan Abdul Malek Ibrahim dan Dr. Zulkifli Taat terpilih menerima Anugerah Khas Pentadbir.

Hadir sama ke majlis tersebut Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Dr. Haji Mohd Sofi Haji Osman yang turut menyampaikan ucaptama dan anugerah kepada pemenang, Naib Canselor, Profesor Datuk Ts Dr. Wahid Razzaly, ahli-ahli lembaga pengarah universiti, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pegawai-pegawai Kanan universiti.

Yang DiPertua PENTAS UTHM, Shafry Salim berkata Anugerah Pentadbir peringkat universiti ini diadakan bagi merai dan menghargai sumbangan para pentadbir yang telah menyumbang tenaga dan kepakaran mereka dalam bidang pentadbiran, penulisan, penyelidikan, khidmat komuniti, kreativiti dan inovasi mahupun sukan demi melonjakkan lagi nama universiti.

Menurut beliau lagi, Anugerah Pentadbir merupakan salah satu inisiatif PENTAS untuk membudayakan gaya kerja cemerlang dalam kalangan pentadbir selain memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Penganjuran majlis ini juga bagi menggalakkan pentadbir untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti di luar tugasan hakiki serta berusaha bersungguh-sungguh menjadi pentadbir yang cemerlang dan berdaya saing,” tambah beliau.

Untuk rekod, PENTAS merupakan persatuan yg menaungi staf pentadbiran UTHM (Kumpulan Pengurusan dan Profesional) dengan keahlian seramai 282 ahli.

Majlis Anugerah Pentadbir ini merupakan kemuncak penganjuran Karnival Pentadbir Universiti 2020 yang berlangsung selama dua minggu di kampus induk. Program ini dijalankan selari dengan penganjuran Konvensyen Pentadbir anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Selain Anugerah Pentadbir, karnival tersebut juga dimeriahkan dengan penganjuran dua program sampingan iaitu acara larian 5km Fun RunSuper Heroes PENTAS 2020 dan Program TownHall Kebajikan dan Kesihatan khusus untuk warga universiti dan juga masyarakat setempat.

Salah seorang penerima anugerah, Hawa Omar yang merupakan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dipilih sebagai pemenang.

Beliau berkata penganjuran program seumpama ini mampu memberi motivasi kepada semua pentadbir universiti untuk terus berkarya dan melaksanakan tugas yang multi-tasking selain dapat dijadikan perangsang untuk melaksanakan program atau aktiviti yang berimpak, bagi memberi nilai tambah kepada diri masing-masing.

 

 

 

Categories
Anugerah, Pencapaian dan Pengiktirafan

RELATED ARTICLE