Pelajar UTHM menang tempat ketiga pertandingan 1minute Marketing Video Challenge

Pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Faris Aiman Roseli berjaya memperolehi tempat ketiga dalam pertandingan 1minute Marketing Video Challenge peringkat kebangsaan....

Pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Faris Aiman Roseli berjaya memperolehi tempat ketiga dalam pertandingan 1minute Marketing Video Challenge peringkat kebangsaan.

Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM200 beserta sijil penghargaan setelah Pengarah Pusat Pendidikan Keusahawanan dan Pembangunan (CEED) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr. Mohammad Ismail mengumumkan senarai pemenang menerusi dalam talian pada 21 Mei lalu.

Bermula dengan pertandingan video promosi produk anjuran Pusat Teknousahawan Pelajar (PTP), UTHM, Faris berjaya merangkul tempat pertama sehingga melayakkan beliau mewakili universiti ini ke pertandingan anjuran CEED, UMK.

Menurut Faris, beliau meneruskan hasrat menyertai pertandingan 1minute Marketing Video Challenge ini kerana ingin mendapat pengalaman yang lebih luas di samping terus mengasah bakat yang dimiliki.

Faris Aiman yang mempromosikan produk jualannya iaitu ‘Mini Crunch Cadbury Leleh’ melalui video pendek berdurasi satu minit berjaya memikat hati juri sekali gus melayakkan beliau berada dalam senarai 10 teratas daripada 46 peserta dari seluruh institut pengajian tinggi awam di Malaysia.

Katanya, pertandingan yang disertainya itu secara tidak langsung adalah untuk memperkenalkan perniagaan yang diusahakan dalam bentuk video.

“Saya berharap penyertaan dalam pertandingan tersebut dapat meluaskan lagi jaringan perniagaan, di samping dapat mempelajari ilmu baharu daripada peserta lain,” katanya.

UTHM berharap kemenangan ini dapat menjadikan Faris sebagai usahawan contoh yang dapat menarik pelajar lain untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Categories
Anugerah, Pencapaian dan PengiktirafanHal Ehwal Pelajar

RELATED ARTICLE