MUAR – Kesinambungan dari STEM Road Tour yang berlangsung pada 11 Mei 2017 lalu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, Kluang, tahun ini Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus cawangan Pagoh melebarkan sayap STEM ke daerah Muar pula.

Program kerjasama antara UTHM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar yang diadakan pada 2 April lalu ini telah dianjurkan oleh pelajar-pelajar tahun dua kursus Matematik Teknologi, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan turut disertai oleh pelajar-pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

STEM Road Tour diadakan bertujuan untuk mendedahkan ilmu dan kepentingan STEM kepada pelajar-pelajar sekolah dan masyarakat secara interaktif. Program seumpama ini dapat menyediakan suasana dan persekitaran pembelajaran yang aktif serta menyeronokkan berasaskan STEM di samping dapat membuka peluang kepada pelajar-pelajar UTHM dalam menyumbangkan ilmu dan tenaga kepada komuniti.

Pada tahun ini, SMK Tun Perak, Muar telah terpilih sebagai tuan rumah untuk dihadiri oleh sembilan sekolah sekitar daerah Muar. Sekolah-sekolah yang terlibat ialah SMKA Pagoh, SMK Dato Seri Amar Diraja, SMK Bukit Pasir, SMK Tinggi Muar, SMK Andrew, SMK Sungai Abong, SMK Tengku Mahkota, SMK(P) Sultan Abu Bakar dan SMK Sri Muar.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan PPD Muar, Tuan Haji Lukman Simon dengan menyempurnakan pelancaran gimik eksperimen menggunakan bahan-bahan kimia. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTHM, Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman; Dekan FAST, Profesor Madya Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tun Perak, Mohamad Hatta Istamar.

Simbolik daripada gimik tersebut adalah untuk menyampaikan mesej kesedaran dan motivasi ke dalam diri pelajar-pelajar sekolah mengenai kehebatan dan kecantikan yang wujud dalam bidang sains dan teknologi.

Turut diadakan aktiviti pameran yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar UTHM melibatkan kursus  Teknologi Makanan, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Kimia,  Kejuruteraan Awam, Fizik  Gunaan, Biodiversiti , Statistik dan Matematik. Pelajar-pelajar sekolah berpeluang melawat tapak-tapak pameran bagi mendekati dan menyelami sendiri pembelajaran secara hands-on.

Aktiviti sampingan seperti kuiz, pemeriksaan kesihatan, eksperimen dan pertunjukan robotik turut diadakan bagi memeriahkan lagi tapak pameran. Tetamu jemputan juga tidak melepaskan peluang untuk melawat pameran-pameran di STEM Road Tour Muar sambil ditemani Penyelaras program, Dr. Hamizah Mohd Safuan dan Pengarah program, Nur Aaina Athira Hamdan.

Pihak fakulti amat berharap melalui penganjuran STEM Road Tour Muar ini, para pelajar sekolah dapat memperolehi ilmu bermanfaat yang berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka. Tambahan lagi program ini juga merupakan salah satu kaedah efektif dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama UTHM dengan pihak sekolah dan PPD di Johor selain dapat mempromosikan UTHM sebagai satu pusat pengajian ilmu yang ada di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.