C43I1708“Saya menyeru kepada semua warga kerja Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) agar sentiasa menjaga amanah yang dipertanggunggungjawabkan sebagai seorang staf di universiti ini di samping bersedia untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik,” antara pesanan Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly dalam Majlis Perutusan Naib Canselor 2019 yang berlangsung pada 29 Januari lalu.

Wahid dalam amanatnya turut mengulas hala tuju yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Menterinya, Dr. Maszlee Malik yang menginginkan pelaksanaan konsep ‘Sekolah untuk komuniti dan Universiti untuk masyarakat.’ Beliau menyeru warga UTHM untuk memberi tumpuan kepada tiga hala tuju berikut yang boleh dijadikan kompas dan paksi pergerakan semasa bekerja iaitu Mengembalikan Cinta Dalam Pendidikan, Ketinggian Kualiti sebagai Pemangkin Kecemerlangan, Relevensi dan Keberkesanan; serta Autonomi dan Akauntabiliti.

“Ketiga-tiga hala tuju tersebut akan menjadi teras kepada agenda perubahan di universiti ini dalam memastikan UTHM menjadi universiti yang relevan kepada masyarakat sekali gus mampu melahirkan lebih banyak jurutera dan teknologis yang profesional untuk negara selaras dengan tagline “UTHM produces professionals,” tambahnya lagi.

C43I1601Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab melahirkan golongan profesional, UTHM berhasrat meningkatkan bilangan enrolmen pelajar kepada angka 19000 selaras dengan Blueprint Universiti 2015-2025. Kewujudan kampus cawangan Pagoh yang kini menempatkan sejumlah lebih 5000 pelajar membolehkan hasrat ini tercapai pada 2019.

Manakala sebagai salah satu inisiatif dalam menjadikan UTHM sebagai kampus pintar, aplikasi QRPAY@UTHM turut dilancarkan penggunaannya di dalam kampus ketika majlis berlangsung. Melalui aplikasi ini warga kampus boleh membuat pembayaran secara ‘Cardless and Cashless’ dengan hanya menggunakan telefon bimbit. Urusniaga yang terlibat termasuklah pembelian buku, pembayaran perubatan dan kafeteria di dalam kampus, malah warga universiti juga boleh menderma ke tabung masjid UTHM melalui aplikasi ini.

Selari dengan hasrat Naib Canselor untuk mengurus universiti secara bersama, kempen “Sayangi UTHM” turut dilancarkan bagi memfokuskan kerja-kerja amal yang berimpak tinggi. Kempen yang menggabungkan usaha persatuan-persatuan staf di universiti ini melibatkan lima kluster iaitu Kampus Ceria, Prihatin Ummah, Pesan Sejahtera, Alam Lestari dan Ringgit yang menjadi wadah warga UTHM melibatkan diri dalam kerja-kerja kesukarelawan.

C43I1755Majlis diserikan dengan pelancaran buku “Sasaran Kerja Tahunan Universiti 2019” yang diterbitkan oleh Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko (PSPR). Buku ini akan menjadi rujukan barisan kepimpinan universiti bagi merangka aktiviti bagi mencapai sasaran universiti pada tahun 2019.

Untuk rekod, majlis perutusan yang diadakan saban tahun ini merupakan platform untuk Naib Canselor membentangkan refleksi pencapaian tahun sebelumnya dan perancangan serta KPI universiti bagi tahun semasa untuk dikongsikan kepada seluruh warga. Medium ini juga digunakan untuk Naib Canselor membentangkan isu-isu  dan amalan terbaik yang boleh diterapkan bagi mendorong kepada kejayaan pelaksanaan dan pencapaian KPI 2019.