BATU PAHAT – Seramai 50 kanak-kanak tadika menyertai program Junior Hajj Programme iaitu simulasi haji 2017 bagi merasai pengalaman suasana sebenar mengerjakan ibadah haji iaitu rukun Islam kelima bertempat di Musolla Tun Syed Nasir, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Penyelaras kursus kokurikulum Umrah dan Haji, Tuan Hj Abd Khalil Abd Rahim, berkata program yang diadakan pada 6 Mei baru-baru ini bersama kanak-kanak tadika itu bertujuan memberi pendedahan mengenai suasana sebelum dan ketika menunaikan ibadah haji bagi memberi pengetahuan dan menanam minat kanak-kanak untuk menunaikan ibadah rukun Islam kelima pada usia muda.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pusat Perkembangan Awal Kanak-kanak, UTHM memberi sokongan penuh terhadap program ini. Pelajar kursus Umrah dan Haji UQD10301 seksyen 2 seramai 28 orang  mengambil inisiatif bagi membantu kanak-kanak berusia seawal lima tahun bagi memahami dan mempelajari cara melaksanakan ibadah haji menerusi pendidikan secara tidak formal. Program ini juga telah mendapat kerjasama daripada Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum serta Lembaga Tabung Haji.
“Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi hingga jam 3.00  petang itu memperkenalkan para peserta dengan pakaian ihram sekali gus menghayati proses mengerjakan ibadah haji. Aktiviti yang berteraskan fardu ain ini termasuk menjalankan ibadah tawaf, saie, tahallul dan melontar jamrah,” katanya.
Sementara itu Pengarah Program, Mohamad Najmuddin Mohd Radzi berkata penganjuran program ini dapat meningkatkan lagi kemahiran insaniah seperti sifat kepimpinan dan kemahiran komunikasi dalam diri mahasiswa yang terlibat sebagai urus setia seterusnya dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim bersama kanak-kanak tadika. Menurut Nadmuddin juga, program ini mendapat sambutan baik daripada ibu bapa dan rata-ratanya memberi maklum balas yang sangat positif.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Puan Farah Deena Md Rapee, Setiausaha Jawatankuasa Pusat Perkembangan Awal Kanak-kanak UTHM dan turut dihadiri jemputan khas Ustazah Hjh Zanariah Hj Buang dan wakil Lembaga Tabung Haji, Tuan Hj Mohd Izuddin Mahadan.