Berita UTHM

Suburkan Potensi Wakaf Buku

Oleh Prof. Dr. Ismail Omar
Pensyarah dan Felo Penyelidik Institut Transformasi Sosial Wilayah (TRANSFORM)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM)
Diterbitkan di Utusan Online , 12 April 2016 6:05 PM

TERKILAN seorang pensyarah apabila buku bernilai kira-kira RM1,200 yang hendak diwakafkan di sebuah perpustakaan universiti tidak diterima kerana sistem sedia ada tidak memungkinkan perkara ini. Agak malang, kerana wakaf buku sebenarnya penting kepada siswa-siswi di universiti dibandingkan dengan baucer buku.

Selain wakaf buku, terdapat banyak bentuk wakaf yang lain termasuklah kertas kerja, monograf, nota-nota kuliah, kertas kajian, filem, slaid, hasil seni, dokumen penting, rekod suara, laporan penyelidikan, kertas seminar, jurnal, pelan dan peta, model, bahan-bahan artifak sejarah dan sebagainya. Bahan-bahan ini sangat bernilai di institusi pengajian tinggi.

Kebanyakan bahan yang berguna ini tidak dikumpulkan sebaik-baiknya untuk digunakan sebagai bahan rujukan atau bacaan tambahan. Usaha beberapa universiti yang menjadikan pengumpulan bahan-bahan berkenaan sebagai wajib kepada pensyarah dan menjadikannya sebagai e-learning sangat baik dan harus dicontohi. Bahan-bahan berkenaan boleh dijadikan rujukan dalam bentuk digital dan boleh dikomersialkan.

Selain wakaf buku, institusi pengajian tinggi juga boleh mewakafkan harta intelek (IP) dan hakcipta. Wakaf IP ini telah dilaksanakan dengan jayanya di Universiti Birmingham, England sejak sekian lama.

Dalam konteks ini, universiti menghasilkan beribu-ribu graduan setiap tahun sama ada di peringkat prasiswazah dan siswazah. Dengan bilangan kira-kira 400 institusi pendidikan tinggi di negara kita, dan purata bilangan graduan yang dikeluarkan setahun seramai 500,000 jumlah IP boleh mencapai 200 juta setahun.

Sekiranya nilai IP daripada bilangan ini dikomersialkan pada kadar RM1,000 tiap satu, maka negara akan memperoleh RM200 bilion hasil produk wakaf IP setiap tahun. Amaun ini tidak termasuk wakaf tanah, wakaf bangunan, wakaf makmal, wakaf perpustakaan, wakaf ternakan, wakaf ladang, wakaf tunai dan sebagainya yang boleh diwujudkan di institusi pendidikan tinggi di negara kita.

Begitu juga dengan wakaf pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang dihasilkan di universiti awam dan swasta di negara kita. Dengan berjuta-juta ringgit dana penyelidikan yang disalurkan kepada universiti awam dan swasta di negara kita, sudah tentu hasil penyelidikan yang boleh dikomersialkan juga bernilai jutaan ringgit.

Lantaran, jikalau nilai hasil penyelidikan dalam bentuk produk, nilai polisi yang dihasilkan dan sebagainya boleh dijadikan wakaf R&D sudah tentu negara memperoleh hasil pengkomersialan yang bernilai tinggi. Pelbagai produk R&D yang dihasilkan penyelidik kita antaranya bahan binaan kapal terbang dan enjin kenderaan, alat-alatan perubatan, produk kesihatan dan kesejahteraan serta tidak kurang juga dalam bentuk polisi dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, untuk menjadikan bahan-bahan dalam bentuk buku rujukan, artifak sejarah, produk R&D dan IP sebagai wakaf, syarat-syarat yang menjadikannya wakaf perlu dipatuhi. Antaranya bahan-bahan berkenaan mestilah ada mauquf atau objeknya. Begitu juga dengan mauquf alaih yakni orang yang mewakafkannya.

Selain itu, bahan-bahan yang dijadikan wakaf tadi mestilah tahan lama atau kekal sifatnya. Disebabkan sifat kekal ini, wakaf berkenaan mewujudkan manfaat yang berterusan. Sifat ini bermakna bahawa pahala daripada manfaat wakaf berkenaan akan mengalir selama mana objeknya tidak luput. Misalnya, pahala berwakaf bagi buku rujukan akan berterusan mengalir selagi buku rujukan berkenaan boleh dimanfaatkan pembacanya. Walaupun, buku rujukan boleh susut nilai dan lupus, teknologi mutakhir membolehkan buku-buku rujukan dikompil dan dijadikan dalam bentuk digital dan bertahan lama.

Itulah sebabnya hakcipta bagi buku yang diterbitkan diberikan selama umur penulis dan ditambah sehingga 50 tahun kematiannya. Peraturan berwakaf juga mewajibkan adanya hujjah iaitu lafaz ketika mewakafkan bahan-bahan berkenaan. Untuk menjadikan sesuatu bahan boleh diwakafkan rukun-rukun yang berkaitan perlu diikuti seperti yang ditentukan ulama muktabar. Rujukan dan panduan boleh dibuat dengan pakar-pakar wakaf di agensi berkaitan wakaf (ABW).

Malangnya, kebanyakan perpustakaan dan pusat sumber di institusi pendidikan tinggi sama ada di sektor awam atau swasta masih belum bersedia untuk menjadikannya sebagai satu produk wakaf. Namun, dengan perkembangan semasa dalam pembangunan wakaf, selain keperluan institusi pendidikan mencari sumber dana sendiri, nampaknya sudah sampai masa perkara ini dilaksanakan.

Barangkali, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi boleh mengambil inisiatif ke arah memajukan perkara ini. Kerjasama dengan agensi berkaitan wakaf (ABW) terutama sekali Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) boleh dilaksanakan. Kemungkinan satu bentuk jawatankuasa yang melibatkan ABW dan wakil-wakil universiti awam dan swasta boleh dibentuk untuk mencari jalan dan memajukan wakaf buku, produk R&D dan produk IP.

Selain itu, Majlis Profesor Negara (MPN) perlu memainkan peranan mereka dengan kepakaran yang ada. Perkara ini bukanlah sukar memandangkan sudah ada wakaf al-Quran, wakaf hotel, wakaf tanah, wakaf asrama, wakaf universiti, wakaf kapal terbang, wakaf mart dan sebagainya. Apalah salahnya kita mengorak langkah memulakan wakaf buku di institusi pendidikan tinggi pula.

Caranya, wakaf ini boleh dimulakan di universiti-universiti penyelidikan (RU) yang ada sebagai langkah permulaan. Seterusnya, langkah permulaan ini akan dibaiki dan diperkasakan dari semasa ke semasa. Kita percaya, jalan di hadapan sentiasa boleh diperbaiki.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR berkhidmat di Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Penulis juga ialah ketua penyelidik wakaf pengajian tinggi negara di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/suburkan-potensi-wakaf-buku-1.244610#sthash.9CKQR1R5.dpuf

Related Posts

Risiko sakit otot rangka ketika raya

Musim perayaan sudah tiba dan kemeriahannya mula dirasai masyarakat terutama umat Islam yang berjaya menjalani…

Merentasi budaya, perpaduan dan tradisi di Hari Raya Aidilfitri

Bulan Ramadan merupakan satu bulan yang penuh dengan ibadah dan amal kebajikan bagi umat Islam…

Tinggalkan Balasan