Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima wang sumbangan endowmen penyelidikan 200 ribu daripada Syarikat BP Renal Care Sdn. Bhd baru-baru ini bagi tujuan menaja pengajian penuntut pasca siswazah di universiti ini.
Wang sumbangan tersebut diterima dalam satu majlis Penyerahan Replika Cek Endowmen Penyelidikan yang diadakan pada 20 Mac lalu bertempat di Sapphire Ballroom, Hotel Katerina, Batu Pahat. Sumbangan endowmen ini bertujuan untuk menaja penuntut-penuntut UTHM yang mengikuti pengajian peringkat Sarjana dan PhD terutamanya yang melibatkan bidang penyelidikan.
Menurut Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman selaku penyelaras yang dilantik bagi mengurus dan merancang sebarang aktiviti berkaitan endowmen, sumbangan yang diterima adalah secara berperingkat mengikut keperluan yang diutamakan.
Majlis telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah BP Renal Care , Dr. Kee Swee Ann. Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah BP Renal Care, Dr. Mohd Yusof Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Hashim Saim, Dekan Pusat Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ICC), Profesor Madya Dr. Mohd Najib Mohd Salleh, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Profesor Madya Dr. Abdul Halid Abdullah dan Dekan Pusat Pengajian Diploma, Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman.
Dr. Kee dalam ucapannya berharap sumbangan endowmen ini dapat membantu penuntut dalam membangun dan meneroka bidang penyelidikan dengan lebih mendalam disamping dapat membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Source: UTHM terima sumbangan endowmen 200 ribu– taja pengajian penuntut pasca siswazah