PAGOH, 1 Ogos 2023 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini mencatatkan rekod kemasukan hampir 700 pelajar baharu program diploma semester khas sesi pengajian 2023/2024.

Pendaftaran yang dibuat secara fizikal kali ini melibatkan tujuh kursus yang ditawarkan oleh UTHM iaitu Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia, Diploma Sains Gunaan dan Diploma Teknologi Animasi yang mula diperkenalkan pada sesi pengajian ini.

Kesemua pelajar baharu itu akan mengikuti sesi perkuliahan sesi 2023/2024 bermula 6 Ogos ini secara bersemuka bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Terdahulu, mereka perlu mengikuti Minggu Haluan Siswa yang dijadual berlangsung selama enam hari bermula 31 hingga 3 Ogos ini.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim mewakili universiti mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada kesemua pelajar baharu tersebut.

Beliau dalam ucapannya menekankan tentang pentingnya keutamaan adab dalam memperoleh ilmu.

“Saya menyeru kepada anak-anak pelajar agar sentiasa menjaga adab dengan rakan-rakan, pensyarah, kakitangan universiti dan masyarakat sekeliling.

“Ini kerana adab merupakan nilai paling berharga untuk mencapai ilmu yang berkah kerana adab berupaya mengajarkan kita tentang akhlak,” katanya.

Untuk rekod, program diploma UTHM yang melibatkan tempoh masa pengajian selama dua tahun sembilan bulan itu mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) serta mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi.

Pelajar program diploma di UTHM mempunyai peluang yang tinggi untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di universiti ini kerana CGPA yang diperlukan sekurangnya 2.5 sahaja dan tidak perlu bersaing dengan lepasan SPM, matrikulasi mahupun politeknik melalui permohonan Unit Pusat Universiti (UPU).

Selain itu, lebih 10 bantuan kebajikan telah disediakan oleh pihak universiti bagi membantu para pelajar yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lancar.

UTHM sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam memenuhi keperluan tenaga kerja bagi pembangunan negara masa kini.

Untuk itu, universiti ini sangat konsisten dalam melahirkan graduan profesional berkemahiran tinggi dan berminda usahawan.

“Oleh itu sebagai seorang mahasiswa di sebuah universiti teknikal berasaskan TVET, saya berharap anak-anak pelajar sentiasa peka dengan sebarang perkembangan ilmu dan teknologi semasa,” pesan Prof. Ruzairi.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 2 Ogos 2023: UTHM terima 700 pelajar baharu diploma

https://malaysiagazette.com/2023/08/02/uthm-terima-700-pelajar-baharu-diploma/