Bagi menggantikan bangunan lama Kompleks Pertanian yang terletak di hadapan kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), pihak universiti telah membina satu bangunan baharu yang berlokasi di Parit Karjo, Batu Pahat bagi menempatkan staf Jabatan Pertanian yang sedia ada di sana.

Pertukaran tapak ini adalah di bawah Projek Gantian Kompleks Pertanian (MOA) yang memulakan pembinaannya pada  Februari  2012 dan siap sepenuhnya pada April 2015. Kompleks Pertanian baharu yang menelan belanja sebanyak RM7.6 juta ini dibina dengan keluasan lantai 2,257 meter persegi di atas tanah berkeluasan 10 ekar yang mana enam ekar lagi masih kekal dengan ladang sawit.

Projek yang telah mendapat Certificate of Practical Completion (CPC) ini melibatkan pembinaan sebuah blok pentadbiran yang menempatkan ruang pejabat, bilik pameran, bilik seminar, bilik mesyuarat dan surat dan blok stor simpanan yang didalamnya terdapat stor baja, stor racun dan stor peralatan. Turut dibina sebuah blok kuarters yang memuatkan empat unit rumah, sebuah rumah pegawai, garaj kenderaan, pondok pengawal, rumah sampah dan juga sebuah padang permainan.

Rentetan itu, satu Majlis Penyerahan Rasmi Bangunan MOA telah diadakan pada 20 Januari lalu bertempat di perkarangan bangunan baharu tersebut.

Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Pengurusan Fasiliti dan ICT), Profesor Dr. Ahmad Tarmizi Abd Karim berkata dengan adanya bangunan baharu ini ia dapat memberi manfaat dan keselesaan kepada semua staf Jabatan Pertanian yang akan berpindah sepenuhnya selepas ini.

Menurutnya lagi, tapak lama kompleks ini akan digunakan oleh UTHM untuk tujuan komersial yang lain yang mana projeknya masih dalam perancangan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak perunding, kontraktor dan semua staf UTHM yang terlibat dalam menjayakan projek ini walaupun sebelum ini terdapat beberapa halangan yang menyebabkan projek ini tertangguh seketika,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor; Encik Ahmad Kamil Mohd Yunos, Pengarah Pejabat Pertanian Daerah Batu Pahat; Encik Rosdin Kimin serta Pegawai-pegawai kanan UTHM dan Jabatan Pertanian.

Source: UTHM bina bangunan baharu Kompleks Pertanian – ganti tapak lama