Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS) Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima undangan daripada Institute of Space Technology (IST), Islamabad untuk mengadakan kerjasama dalam penganjuran kursus dan perundingan profesional.
Selaras dengan hasrat Perjanjian Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara UTHM dan Institute of Space Technology, Islamabad pada 30 Ogos 2013, Ketua Pusat WARAS, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusof Ismail telah diundang sebagai Penceramah Utama (Keynote Speaker) dalam persidangan antarabangsa 2015 International Conference on Aerospace Science and Engineering (ICASE 2015) yang dianjurkan oleh Institute of Space Technology di Islamabad pada 2 September lalu.
Dalam persidangan yang melibatkan penceramah jemputan daripada  Washington, U.S.A., Melbourne Australia, Italy, Canada, Arab Saudi dan Beijing, China, pelbagai perbincangan bersama telah diadakan bagi melihat potensi kerjasama penyelidikan pelbagai bidang bersama institusi-institusi tersebut.
Disamping itu dalam program berasingan, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusof turut terlibat dalam beberapa siri kursus profesional sebagai penyelidik jemputan dalam bidang teknologi rekabentuk antenna dan komunikasi wayarles melibatkan para penyelidik daripada pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa.
Dalam pertemuan bersama Naib Canselor IST, Brig. Jen. Prof. Imran Rahman, beberapa pendekatan jangka panjang telah dibincangkan termasuk penglibatan penyelidik IST bagi mengikuti pengajian penyelidikan di peringkat pasca siswazah di UTHM sebagai salah satu strategi bagi meningkatkan penglibatan kluster pelbagai bidang melibatkan kumpulan penyelidik dari kedua-dua institusi. Pendekatan ini dilihat dapat melonjakkan penyertaan aktif kesemua enam kluster penyelidikan Pusat WARAS untuk terus konsisten menerokai peluang penyelidikan bersama.

Source: Pusat Waras terima undangan kolaborasi penyelidikan bersama IST