Batu Pahat – Prihatin terhadap mangsa banjir di Pantai Timur, pasukan misi ke-lapan yang diketuai oleh Profesor Madya Nawawi Jusoh telah menyusun strategi bagi mengagihkan bantuan dan pemeriksaan kesihatan kepada para pelajar di Sekolah Maahad Mahmud Muhamadiah, Gua Musang, Kelantan pada 27 dan 28 Januari lalu.
Sekolah ini merupakan antara puluhan sekolah yang mengalami kemusnahan fizikal yang teruk akibat dari bencana ini. Dengan kekuatan ahli  seramai 23 orang yang terdiri daripada urusetia peninjau dan urusetia peserta, pasukan ini bertungkus lumus mengumpul sumbangan berupa wang barangan dan wang sumbangan daripada staf UTHM dan orang luar.
Seramai 16 orang peserta terlibat mewakili pusat tanggungjawab masing-masing antaranya Profesor Madya Nawawi Jusoh dari Pusat Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Haryati Shafii dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Nurul Hafizah Mohd Hanafi dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Dr. Maizatullakmal Pathor Rahman dari Pusat Kesihatan Universiti bersama dua orang pemandu dan tiga pelajar postgraduate dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional.
Antara sumbangan yang diagihkan kepada para pelajar adalah seperti peralatan sekolah, set solat merangkumi sejadah, kopiah, Kitab dan Kamus Al-Quran berserta terjemahan, selimut, pakaian wanita, air mineral, ubat-ubatan dan sebagainya.
Sementara itu, staf PKU pula turut memberi khidmat pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, gula dan gigi kepada kumpulan guru dan pekerja sekolah yang terlibat.
Pihak sekolah berterima kasih atas perkhidmatan tersebut dan berharap bantuan seumpamanya dapat disalurkan dari masa ke semasa bagi memastikan para pelajar khususnya mangsa banjir dapat mengikuti pembelajaran dalam suasana yang sihat dan bermotivasi.
Untuk rekod, UTHM sebelum ini juga pernah melakukan kerja-kerja pembersihan awal di sekolah tersebut yang melibatkan 100 orang sukarelawan bermula 6 Februari lalu.

Source: Misi Bantuan Pasca Banjir – UTHM bantu warga Sekolah Maahad Mahmud Muhamadiah, Gua Musang, Kelantan