Menyedari pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar, Kolej Kediaman Perwira (KKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil inisiatif menjadikan kolejnya sebagai Kolej Kediaman Karbon-Rendah yang pertama di universiti ini.
Konsep Low-Carbon Society ditafsirkan sebagai masyarakat yang mengamalkan gaya hidup ringkas tetapi berkualiti tinggi dengan penekanan diberikan kepada aspek kekeluargaan dan keteguhan hubungan komuniti, menghargai alam sekitar dan juga meminimakan pembebasan gas karbon dioksida (Co2).
Atas kesedaran inilah warga KKP cuba memberi komitmen dan menuntut kerjasama semua pihak dalam merealisasikan konsep Kolej Kediaman Karbon-Rendah ini.
Sebagai langkah permulaan, satu upacara pelancaran yang melibatkan 339 orang penghuni kolej  telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman, Dr. Afandi Ahmad pada 6 Mac lalu.
Menurut Dr. Afandi, bagi melaksanakan projek ini empat aktiviti teras telah dirangka iaitu aktiviti walking, recycling, upcycling dan cycling bagi memberi kesedaran kepada penghuni akan sumbangan yang boleh dimainkan ke arah merealisasikan misi Kolej Kediaman Perwira sebagai Kolej Kediaman Karbon-Rendah.
Turut diadakan sewaktu pelancaran, aktiviti berjalan kaki sejauh hampir 5,322 langkah melalui taman-taman perumahan dan anak sungai di kawasan berhampiran. Selain itu, pertandingan “Foto Pilihan – Perwira Low Carbon” turut diadakan dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan penghuni kolej kediaman. Aktiviti santai ini menjadi medium dalam memberikan pendidikan alam sekitar kepada komuniti secara amnya.

Source: Kolej Kediaman Perwira realisasikan Konsep Low-Carbon Society