MUAR – Kesibukan dalam menguruskan kerjaya dan pelajaran tidak menghalang 80 sukarelawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus cawangan Pagoh untuk menabur bakti kepada penduduk Kampung Jawa, Panchor, Muar, Johor melalui penganjuran program khidmat komuniti.
Program yang dilaksanakan pada 28 April lalu ini diadakan bertujuan memperkukuhkan lagi peranan universiti ke arah merealisasikan kampung berilmu demi manfaat sejagat.
Bertemakan “Mahasiswa Prihatin, Masyarakat Terjamin,” program ini melibatkan sukarelawan dalam kalangan pelajar, pensyarah, felo industri dan penolong jurutera dari Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA) serta Kumpulan Fokus Pengurusan Bangunan Pintar (BIM), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).
Penyelaras program, Ts Mohd Syafiq Syazwan Mustafa berkata program yang diadakan di Masjid Jamek An-Nur ini adalah sebagai tanda prihatin warga kampus terhadap kebajikan masyarakat setempat selain ingin mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dengan melakukan kerja-kerja sukarelawan bersempena menyambut bulan Ramadhan 1440H.
“Selain bergotong-royong membersihkan kawasan persekitan bersama penduduk, sukarelawan UTHM juga turut melakukan khidmat pembersihan kipas dan penyaman udara yang terdapat di dalam masjid tersebut.
“Pihak kami juga turut melakukan pengujian ke atas bangunan masjid melalui pemindahan ilmu dan kemahiran penyiasatan keadaan struktur bangunan atau dikenali sebagai Building Condition Assessment (BCA),” katanya.
Khidmat komuniti tersebut turut memberi pendedahan kepada penduduk setempat berkaitan kaedah sistematik dalam menjalankan penyiasatan keadaan struktur dan penyenggaraan bangunan.
Dengan perkongsian ilmu ini, penduduk akan lebih prihatin dengan tanda-tanda kerosakan bangunan dan mengambil langkah sewajarnya agar dapat mencegah kerosakan yang lebih buruk daripada berlaku kelak.
Antara ilmu penyiasatan bangunan yang dikongsi bersama penduduk setempat ialah dengan melakukan pemantauan berkala ke atas komponen struktur bangunan serta menyediakan dokumen senarai semak bagi merekodkan sebarang kecacatan pada bangunan.
Felo Industri, Ir. Ts. Mohamad Hairi Osman berkata pihaknya juga bersedia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan bangunan dengan pelbagai lapisan masyarakat dan agensi kerajaan jika diperlukan demi kepentingan keselamatan, kesihatan dan keselesaan mereka.
Sementara itu Pengerusi Masjid Jamek An-Nur Kg. Jawa, Haji Abdul Rahman Haji Pawiroh berkata, usaha yang dilakukan oleh pihak UTHM ini sangat baik memandangkan kampus cawangan Pagoh ini terletak berhampiran dengan Kampung Jawa.
“Program yang menyerlahkan semangat kesukarelawanan ini perlu diteruskan pada masa akan datang dan pihak kami juga berharap hubungan yang sedia terjalin ini akan berpanjangan dengan menjalankan pelbagai aktiviti dari semasa ke semasa,” katanya.
Harapan yang sama juga ditekankan oleh Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Amran Mohd Zaid yang mengharapkan adanya jalinan kerjasama dengan masyarakat melalui kerja-kerja sukarelawan serta pemindahan ilmu teknologi untuk pembangunan masyarakat setempat.