Krisis geopolitik yang berlaku di Asia Barat pada masa kini telah memberi kesan besar terhadap kestabilan ekonomi global. Ketegangan ini telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan, peningkatan harga minyak mentah dan ketidaktentuan pasaran. Harga minyak mentah global telah meningkat melebihi USD100 setong menyebabkan memberi impak yang besar kepada kos pengeluaran dan logistik di seluruh dunia. Gangguan di Selat Hormuz dan Laut Merah turut menyebabkan kos pengangkutan kontena global meningkat sehingga 40% berbanding tempoh sebelum krisis.

Sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias ini dan perlu bertindak segera. Pendekatan kerja anjal telah menjadi satu strategi penting bagi memastikan kelangsungan operasi organisasi dan memastikan produktiviti pekerja tidak terjejas. Dengan mengurangkan perjalanan fizikal ke pejabat, pekerja dan syarikat dapat menjimatkan kos pengangkutan dan utiliti sehingga 30%. Justeru, pekerja perlu bersedia dan komited terhadap pelaksanaan kerja anjal sebagai kaedah menghadapi krisis Asia Barat.

Pertama, kerja anjal membolehkan pekerja menyesuaikan masa, lokasi dan cara mereka menjalankan tugas mengikut keperluan organisasi serta keadaan semasa. Dalam konteks krisis Asia Barat, harga minyak dan bahan mentah telah meningkat secara mendadak dan organisasi perlu memastikan kos operasi dapat dikawal tanpa menjejaskan prestasi. Pekerja perlu menyesuaikan jadual kerja mereka untuk memenuhi keperluan organisasi, seperti melaksanakan tugasan dengan menggunakan teknologi digital untuk berkomunikasi dengan rakan sekerja. Dengan cara ini, organisasi dapat memastikan operasi tetap berjalan dengan lancar walaupun dengan kerja anjal.

Selain itu, kerja anjal meningkatkan daya tahan organisasi terhadap gangguan luar. Dalam situasi krisis, keperluan untuk bekerja secara fizikal di pejabat mungkin terbatas akibat krisis yang berlaku. Dengan adanya kerja anjal, pekerja boleh melaksanakan tugas dari lokasi yang berbeza tanpa mengganggu operasi organisasi. Namun, kejayaan pendekatan ini sangat bergantung kepada tahap komitmen pekerja dalam memastikan tugasan diselesaikan tepat pada masanya. Pekerja perlu menunjukkan tanggungjawab dan disiplin yang tinggi dalam menguruskan masa mereka agar produktiviti dapat dikekalkan.

Kemahiran digital juga menjadi elemen kritikal dalam pelaksanaan kerja anjal. Pekerja perlu menguasai penggunaan pelbagai platform teknologi, termasuk aplikasi mesyuarat dalam talian, sistem pengurusan projek dan perisian digital. Dalam dunia yang semakin berasaskan Revolusi Industri 4.0, kecekapan digital bukan lagi satu kelebihan, tetapi satu keperluan. Organisasi yang mempunyai pekerja mahir dalam teknologi digital mampu mengekalkan produktiviti walaupun menghadapi gangguan fizikal. Oleh itu, pekerja perlu proaktif meningkatkan kemahiran teknologi mereka melalui latihan, bimbingan dan pembelajaran kendiri bagi memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dengan norma kerja baharu.

Di samping kemahiran digital, komunikasi berkesan juga merupakan faktor penentu kejayaan kerja anjal. Dalam persekitaran kerja yang tidak bersemuka, risiko salah faham dan kelewatan maklumat adalah tinggi. Oleh itu, pekerja perlu memastikan komunikasi mereka jelas, tepat dan konsisten dengan rakan sekerja serta pihak pengurusan. Penggunaan platform komunikasi yang sesuai, laporan berkala dan mesyuarat dalam talian dapat membantu memastikan semua pihak dapat melaksanakan tugasan. Komunikasi yang baik juga meningkatkan kerjasama antara pasukan, walaupun mereka bekerja dari lokasi yang berbeza.

Disiplin diri merupakan satu elemen penting dalam pelaksanaan kerja anjal. Tanpa pengawasan secara langsung, pekerja perlu mengurus masa mereka dengan bijak, mengutamakan tugasan penting dan mengelakkan gangguan dari persekitaran rumah atau luar pejabat. Tanpa disiplin yang tinggi, produktiviti boleh merosot dan kualiti kerja boleh terjejas. Oleh itu, komitmen terhadap etika kerja profesional perlu dikekalkan walaupun berada di luar pejabat. Pekerja yang menunjukkan disiplin tinggi dalam kerja anjal mampu membina kepercayaan majikan dan rakan sekerja, seterusnya memastikan kelancaran operasi organisasi.

Selain aspek produktiviti, kesejahteraan pekerja juga perlu diberi perhatian. Kerja anjal boleh meningkatkan fleksibiliti dalam mengimbangi kehidupan kerja dan peribadi. Namun, tanpa pengurusan masa yang baik, ia juga boleh menyebabkan tekanan kerja yang berlebihan. Pekerja perlu menetapkan sempadan yang jelas antara waktu kerja dan waktu rehat, menjaga kesihatan mental dan fizikal, serta memastikan keseimbangan kerja dan peribadi. Organisasi juga perlu menyediakan sokongan psikososial, seperti program kesejahteraan pekerja, bagi membantu mereka menghadapi tekanan kerja, terutamanya ketika krisis global.

Peranan organisasi dalam menyokong pelaksanaan kerja anjal juga sangat penting. Pihak pengurusan perlu menyediakan infrastruktur teknologi yang mencukupi seperti akses internet, peralatan kerja yang sesuai dan sistem sokongan digital. Garis panduan yang jelas mengenai kerja anjal juga perlu disediakan supaya pekerja memahami tanggungjawab mereka dan dapat melaksanakan tugasan dengan berkesan. Sokongan daripada pihak pengurusan seperti latihan, bimbingan, dan penilaian berkala dapat membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan dan memastikan komitmen mereka terhadap kerja anjal kekal tinggi.

Selain itu, krisis Asia Barat menunjukkan bahawa fleksibiliti dalam cara kerja adalah satu keperluan. Organisasi yang mampu menyesuaikan diri dengan cepat mempunyai kelebihan daya tahan yang tinggi. Pekerja yang mempunyai sikap terbuka terhadap perubahan, bersedia belajar dan komited terhadap tugas mereka adalah aset utama organisasi dalam menghadapi cabaran global. Oleh itu, pembangunan budaya kerja adaptif dan sikap positif perlu dipupuk dalam kalangan pekerja bagi memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi sebarang perubahan.

Pelaksanaan kerja anjal juga membuka peluang kepada inovasi dalam cara kerja. Dengan penggunaan teknologi digital, banyak proses kerja boleh dipermudahkan dan dipercepatkan. Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi juga memberi nilai tambah kepada organisasi. Pekerja perlu melihat perubahan ini sebagai peluang untuk mempertingkatkan kemahiran, memperbaiki proses kerja dan menyumbang kepada keberkesanan operasi. Inovasi dalam pelaksanaan kerja juga dapat membantu organisasi mengekalkan daya saing dalam persekitaran yang sentiasa berubah akibat krisis geopolitik.

Di Malaysia, pelaksanaan kerja anjal selari dengan usaha kerajaan untuk mempercepatkan transformasi digital negara. Inisiatif ke arah ekonomi digital, penggunaan teknologi dalam sektor pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi memerlukan komitmen daripada semua pihak. Kesediaan pekerja untuk menerima dan melaksanakan kerja anjal bukan sahaja memberi manfaat kepada organisasi, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan.

Krisis Asia Barat memberi pengajaran bahawa ketahanan organisasi tidak hanya bergantung kepada sumber fizikal, tetapi juga kepada sumber manusia yang fleksibel dan komited. Pekerja yang bersedia menyesuaikan diri dengan norma kerja baharu, seperti kerja anjal, lebih mudah menghadapi tekanan dan ketidaktentuan. Oleh itu, organisasi perlu menekankan kepentingan latihan, pembangunan kemahiran dan pembinaan budaya kerja yang adaptif supaya pekerja dapat berfungsi dengan optimum dalam keadaan sukar.

Komitmen pekerja terhadap kerja anjal juga membabitkan tanggungjawab terhadap pencapaian hasil kerja. Walaupun bekerja dari lokasi yang berbeza, pekerja perlu memastikan kualiti tugasan tetap terjamin. Penggunaan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan sistem pelaporan yang telus dapat membantu memastikan prestasi setiap pekerja dapat dinilai secara objektif. Kepercayaan yang diberikan kepada pekerja melalui kerja anjal perlu dipantau dengan menunjukkan tanggungjawab dan profesionalisme.

Kesimpulannya, krisis Asia Barat telah memberi tekanan besar kepada ekonomi global dan menuntut pendekatan baharu dalam pengurusan tenaga kerja. Kerja anjal merupakan satu strategi efektif bagi memastikan operasi organisasi dapat diteruskan tanpa gangguan. Namun, kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada tahap kesediaan dan komitmen pekerja. Dengan kemahiran digital yang mencukupi, disiplin diri yang tinggi, komunikasi berkesan, dan sokongan organisasi, pekerja mampu menghadapi cabaran ini dengan lebih berkesan.

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)