Oleh Khairul Asyraf Mohd Rodzi, Muhamad Adli Faezal Rosnan, Siti Nur Zulaikha Mohamad
BATU PAHAT – Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak pada tahun ini, ahli Kelab ArchiBrigade di bawah naungan Kelab Kejuruteraan Awam (KKA) telah berkerjasama dengan Kelab Kebajikan Staf Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) – CESWEC bagi menjayakan program “Sentuhan Kasih Ramadhan 2.0” pada 20 Mac 2024 lalu bertempat di Wisma Anak Yatim Batu Pahat.
Program itu diadakan bertujuan menyantuni anak-anak yatim melalui pelaksanaan beberapa aktiviti antaranya berbuka puasa bersama-sama dan pemberian duit raya.
Kutipan dana telah dijalankan menerusi CESWEC, yang mana sumbangan ahli fakulti telah dikumpul dan disumbangkan sepenuhnya kepada pihak Wisma Anak Yatim Batu Pahat.
Turut hadir, Presiden Kelab, Anas Abdul Aziz Abdul Kahir dan Naib Presidennya, Aryuni Elissa Mohd Azahar bersama pensyarah Program Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina, Muhamad Adli Faezal Rosnan.
Selain berbuka puasa beramai-ramai dan sumbangan duit raya, para pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina, UTHM turut mengadakan sesi suai kenal dan solat sunat tarawih berjemaah bersama anak-anak yatim wisma tersebut.
Sementara itu, wakil Wisma Anak Yatim Batu Pahat, Haji Abdul Rahim dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada FKAAB kerana menyantuni anak-anak yatim terbabit.
“Semoga penganjuran program seumpama ini dapat menambahkan lagi semangat anak-anak di sini melaksanakan ibadah puasa dan menyambut hari raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Pihak FKAAB berharap program seumpama itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi mengeratkan hubungan antara UTHM dan komuniti setempat, selain membantu menceriakan anak-anak yatim yang menjalani ibadah puasa.