BATU PAHAT- Penganjuran Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2019 (PECIPTA’19) pada 22 dan 23 September lalu di kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bertambah menarik apabila pihak jawatankuasa pertandingan memperkenalkan satu lagi anugerah baharu kategori istimewa iaitu Inovasi Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan.

Sebanyak 27 pasukan daripada pelbagai sekolah seluruh negara menyertai PECIPTA kali ini termasuklah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah rendah dan menengah serta sekolah pendidikan khas di bawah kelolaan Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Anugerah ini diwujudkan bertujuan untuk membantu murid-murid berkeperluan khas (MBK) menjalani sesi pembelajaran di sekolah. Antara projek yang dipertandingkan ialah kemahiran membuat mee dalam kalangan anak-anak istimewa, projek-projek inovasi pertanian serta inovasi fasiliti untuk membantu pergerakan murid.

Projek dari SMK Pendidikan Khas Setapak bertajuk Siratul Mustaqim iaitu inovasi bagaimana membantu murid cacat penglihatan untuk berlari tanpa bantuan sukarelawan (running guide) telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas oleh Preston Geocem Sdn. Bhd.

Manakala Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Bandar Laguna Merbok, Kedah pula telah meraih Anugerah Juara Inovasi Pendidikan Khas dan membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah RM500. Sekolah ini mencipta satu inovasi bertajuk “PPKI Street Membantu Murid Pendidikan Khas Pembelajaran dalam Mengenal Warna dan Simbol Jalan Raya” yang bertujuan memberikan pendidikan keselamatan jalan raya kepada murid-murid istimewa ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pertandingan Inovasi Pendidikan Khas PECIPTA’19, Mohd Azlis Sani Md. Jalil penganjuran PECIPTA kali ini berjaya menarik perhatian guru-guru sekolah rendah dan menengah.

“Rata-rata guru yang turut serta menyatakan perasaan gembira kerana terpilih untuk mewakili negeri masing-masing ke pertandingan yang julung kali diadakan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Dr. Hanani Harun Rasit yang juga merupakan salah seorang juri pertandingan pada kali ini.