NEGERI SEMBILAN – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya meraih Naib Johan di Pertandingan Inovasi Peringkat Negeri Sembilan yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bertempat di dataran AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 17 Oktober lalu.

Projek ‘i-SAF’ yang dicipta oleh kumpulan pelajar pasca siswazah diketuai oleh Mohd Khairul Ikhwan Ahmad daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) turut membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM5,000, piala pusingan dan sijil penyertaan.

Menurut penasihat projek I-SAF, Ts Dr. Norfaiza Fuad dari FKEE, projek ini merupakan cetusan idea inovasi bagi membantu pentadbiran masjid mengira jumlah jemaah bagi solat jumaat menggunakan aplikasi IoT dan pemprosesan imej atau video.

“Projek ini akan digunakan oleh seluruh masjid di negeri Sembilan khasnya dan seluruh Malaysia amnya dan kumpulan ini telah dianggotai oleh pelajar-pelajar PhD dan sarjana,” katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan ini adalah hasil sokongan berterusan daripada pihak pengurusan FKEE dan pihak pengurusan UTHM dalam menyemarakan dan memajukan lagi bidang penyelidikan dan inovasi untuk manfaat kepada masyarakat secara praktikal.

Untuk rekod universiti, UTHM adalah antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berjaya tersenarai dalam ‘top 3’ daripada 50 penyertaan awal dan 19 peserta bagi saringan pembentangan. Pertandingan ini melibat penyertaan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari seluruh negeri.

Untuk rekod, Kolej Komuniti Kuala Pilah meraih Johan dalam pertandingan ini manakala Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula di tempat Ketiga.