BATU PAHAT – Kelab Warisan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyantuni golongan miskin dan anak-anak yatim dengan menyalurkan bantuan raya bagi menceriakan lagi sambutan hari lebaran yang bakal tiba.

Sebahagian ahli daripada Kelab Warisan telah menyertai misi menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan kepada golongan miskin sekitar Batu Pahat pada 23 Mei lalu. Barangan keperluan harian yang bernilai hampir RM5000 tersebut ditaja oleh Syarikat Faiza Sdn. Bhd. dan juga sumbangan daripada orang ramai yang prihatin.

Antara ahli yang menyertai misi amal tersebut ialah Pengerusi Kelab Warisan, Muhammad Naqib Hafiq Mustafa bersama wakil Exco Penerbitan iaitu Nik Nurin Alisa Zurizalazuan, Nurin Syarah Zahirah Afandi dan Nur Emylia Natasha Mohamad Hasni.

Manakala pada 24 Mei lalu, kelab ini juga sekali lagi melaksanakan projek  amal “Bantuan Hari Raya” kepada anak-anak yatim dan penghuni Rumah Amal Thuyurul Jannah, Kluang, Johor. Program yang melibatkan 20 pelajar UTHM bersama seorang pegawai pengiring, Encik Rosdi Abdullah ini dilaksanakan dengan membawa keluar anak-anak yatim di rumah tersebut untuk membeli pakaian dan kasut raya di sebuah pasaraya.

Program yang diketuai oleh M Amirul Asyraf Khairuddin dan dibantu oleh Anis Nadiah Rahmat, Nur Aliessa Azalan dan Nur Farhana Jakhsan@ikhsan ini mendapat tajaan daripada Kedai Kasut XES, restoren makanan segera McDonald’s dan sumbangan orang ramai yang bernilai hampir RM5000. Kumpulan sukarelawan tersebut juga turut meluangkan masa melayani anak-anak yatim dengan beberapa aktiviti seperti memasak, mewarna dan bercerita selain berbuka puasa bersama-sama.

“Walaupun kelab ini merupakan sebuah kelab kebudayaan, pelaksanaan program amal sebegini menjadi rutin tahunan setiap kali Ramadan tiba kerana setiap ahlinya diterapkan dengan nilai–nilai kemanusiaan.

“Para pelajar bidang Kejuruteraan yang menyertai kelab Warisan ini sangat aktif dalam bidang seni tari, teater dan muzik namun penglibatan ini turut mendorong mereka mencari dana dan tajaan luar dengan pelbagai cara termasuk membuat persembahan bagi menampung kos berbelanjaan program amal,” kata Rosdi.