C43I1280BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima dana penyelidikan sebanyak RM1 juta daripada SENA Traffic System (STS) bagi membangun Sistem Trafik Pintar di negara ini.

Sebagai langkah permulaan, UTHM Dan STS telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) pada 14 Januari lalu bertujuan membolehkan ahli akademik dan pelajar UTHM terlibat dalam pembangunan dan penyelesaian praktikal untuk bandar pintar di Malaysia dan juga luar negara.

Dalam majlis ringkas tersebut, UTHM diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly manakala STS pula diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan SENA, Dato’ Tan Boon Hock.

MoA ini mengfokuskan kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak melalui pembukaan pusat penyelidikan di kampus induk UTHM.

Wahid berkata pusat penyelidikan ini berperanan sebagai stesen yang membolehkan staf STS bekerjasama dengan tenaga pakar UTHM dalam bidang penyelidikan, pada masa yang sama tenaga akademik dan pelajar universiti ini pula berpeluang untuk menjalankan program sangkutan industri bersama syarikat tersebut.

Kata beliau lagi, dengan ada pusat penyelidikan industri di dalam kampus, proses pemindahan teknologi terkini dari industri ke universiti dapat dijalankan secara langsung.

C43I1284“Kolaborasi ini diharapkan dapat membuka peluang kepada para penyelidik di UTHM untuk menyumbang idea dan tenaga dalam pembangunan sistem bandar pintar selain mampu mendatangkan manfaat kepada masyarakat setempat terutamanya sekolah berdekatan melalui aktiviti tanggungjawab sosial yang boleh dilakukan oleh UTHM dan STS.”

“Pendedahan teknologi terkini hasil dari penyelidikan bandar pintar boleh menjadi pendorong kepada pelajar sekolah untuk mendalami bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang amat diperlukan negara,” tambah beliau.

Sementara itu, Dato’ Hock dalam ucapannya turut melahirkan rasa terima kasih kepada UTHM kerana mahu bekerjasama dengan syarikat ini untuk membangunkan lebih banyak produk inovasi yang boleh diterima pakai dan dikomersialkan di pasaran global.

Menurutnya lagi, sumbangan dana RM1 Juta ini akan diberikan kepada pusat penyelidikan yang bakal dibuka nanti yang mana dananya akan diuruskan oleh Kursi Profesor UTHM-SENA yang akan dilantik dalam kalangan tenaga akademik UTHM.

Beliau juga yakin kolaborasi ini akan memberi faedah kepada STS yang mana penyelidik dan pelajar dapat terlibat sama dalam penyelidikan yang bakal dilakukan.

“Dengan ini STS tidak akan kekurangan tenaga kerja mahir untuk menyiapkan projek yang diminta oleh pelangan manakala kemahiran jurutera kami juga mampu dipertingkatkan sesuai dengan permintaan semasa melalui kursus jangka pendek yang akan dilaksanakan oleh UTHM,” katanya.

Turut hadir menyaksikan MoU tersebut Penasihat Teknikal Kumpulan SENA, Datuk Dr. Ir. Leong Siew Mun, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Wakil Rasmi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Haji Zakaria Ahmad, Pegawai-pegawai kanan UTHM dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Madya Dr. Rosli Omar.