KUALA LUMPURUniversiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) pada hari ini, 19 Disember bagi meningkatkan peluang kerjasama dalam kemajuan kerjaya kakitangan kedua-dua institusi ini.

MoA tersebut melibatkan perjanjian kerjasama dalam program Penempatan Strategik Staf UTHM di Jabatan Kerja Raya Malaysia dan program Sarjana Sains Kejuruteraan Pengangkutan Rel secara separuh masa.

Sesi menandatangai perjanjian tersebut diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTHM, Profesor Ts Dr. Ruzari Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan Md Taha.

MoA 19 2Menurut Ruzairi, pihak universiti berbesar hati dapat bekerjasama dengan JKR yang merupakan sebuah agensi teknikal utama Kerajaan Malaysia yang memainkan peranan utama dalam sektor pembangunan di seluruh negara, dengan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan seiring dengan kepakaran yang ada.

Manakala UTHM pula sebagai Universiti Awam di bawah jaringan Malaysia Technical University Network (MTUN) sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan keupayaannya dalam bidang kejuruteraan dan teknikal dan vokasional (TVET) melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif antaranya dengan menjalinkan hubungan pintar dengan institusi-institusi tertentu.

Katanya melalui perjanjian ini UTHM turut menawarkan Program Sarjana Sains Kejuruteraan Rel secara separuh masa kepada kakitangan JKR yang berminat untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana bagi peningkatan kerjaya mereka.

“Program ini akan dilaksanakan bertempat di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) yang terletak di Melaka dan dijalankan pada hujung minggu,” jelasnya.

Untuk rekod, pada Mei 2015 lalu UTHM dan JKR juga pernah menandatangani satu MoA berkaitan program Cuti Sangkutan Industri melibatkan penempatan 11 staf akademik universiti ini di JKR.

“Tujuan utama program Cuti Sangkutan Industri ini dijalankan adalah sebagai salah satu platform untuk mencapai matlamat 30% tenaga pengajar adalah terdiri daripada Jurutera Profesional seperti yang telah ditetapkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).”

“Melihat kepada keberkesanannya, sekali lagi pihak UTHM dan JKR mengadakan pelanjutan MoA program Sangkutan Industri Fasa-2 dan turut disertai MTUN lain iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP), yang mana UTHM bertindak sebagai penyelaras utama program,” tambahnya lagi.

Perjanjian kerjasama pada kali ini secara keseluruhannya akan menjadi penanda aras dalam hubungan universiti-industri yang mementingkan kualiti kerja berimpak tinggi dan memenuhi keperluan kerjaya kakitangan sekali gus memenuhi keperluan dan kehendak keperluan program kejuruteraan yang di pantau oleh Lembaga Akreditasi Kejuruteraan (EAC) dan BEM.