2BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar sejarah apabila diberikan penghormatan untuk terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek Bandar Karbon Rendah di kawasan bandar Penggaram Batu Pahat.

Bagi menjayakan projek berkenaan, sebanyak 14 agensi yang terlibat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam majlis yang berlangsung pada hari ini, 27 Januari bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat. MoU tersebut telah disaksikan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), YB Yoe Bee Yin.

UTHM telah diberikan mandat untuk melaksanakan penyelidikan dan perancangan pembangunan pengangkutan bandar bagi merealisasikan hasrat Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) menjadikan bandar Penggaram sebagai salah satu bandar karbon rendah menjelang tahun 2030.

Ketua Projek UTHM, Dr. Mohd Fahmy Abdullah berkata projek ini merupakan peluang keemasan kepada universiti ini untuk terus menggandakan usaha penyelidikan terutamanya dalam bidang pengangkutan sekali gus memberi manfaat besar kepada masyarakat di kawasan bandar Batu Pahat dalam jangka masa yang panjang.

5Menurut beliau lagi projek ini bertepatan dengan niche area UTHM yang menfokuskan kepada bidang teknologi mapan dan pengangkutan.

“Menerusi projek tersebut, UTHM juga akan dijadikan benchmark oleh pihak Malaysian Green Technology Corporation dalam penyediaan Kerangka Pelan Perancangan Pengangkutan Bandar Berkarbon Rendah untuk dilaksanakan di kawasan-kawasan lain seluruh negara pada masa akan datang,” tambahnya.

Untuk rekod, MPBP sebelum ini telah mendapat pengiktirafan Provisional Certificate Low Carbon City Framework (LCCF) oleh MESTECC dan kini sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan pensijilan LCCF Diamond Rating menjelang tahun 2020 melalui kerjasama menyeluruh agensi yang terlibat.