BATU PAHAT – Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)  menjalinkan kerjasama dengan Think Plus Consulting Sdn. Bhd bagi mempromosi program Diploma Profesional dalam Operasi Loji Proses melalui penyediaan latihan yang komprehensif untuk penuntutnya. Program yang diperkenalkan ini adalah program pensijilan berganda, yang menggabungkan pensijilan dari UTHM dan City & Guilds, United Kingdom.

Bagi menzahirkan kerjasama tersebut, satu memorandum perjanjian (MoA) telah ditandatangani pada 31 Mac lalu dalam satu majlis ringkas yang diadakan di kampus induk, Parit Raja. UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly dan disaksikan oleh Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Hj. Amran Mohd Zaid. Manakala pihak Think Plus Consulting Sdn. Bhd pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dr. Norsaidatul Akmar Mazelan. Untuk rekod, UTHM dan Think Plus Consulting Sdn. Bhd. sebelum ini pernah bekerjasama setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Mac 2015 dan berakhir pada Mac 2018.

Majlis tersebut juga menyaksikan UTHM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UTHM dan tiga industri iaitu Panasonic Appliances R&D Centre Asia Pacific Sdn. Bhd. (RAPRADAP), Palm Biogreen Sdn. Bhd. dan Kim Hoe Thye Industries Sdn. Bhd. Jalinan kerjasama yang dimeterai ini  melibatkan aktiviti pertukaran staf dan pelajar, penyelidikan dan penerbitan, akademik, aktiviti perundingan, penyeliaan bersama dan lain-lain kerjasama yang dipersetujui berteraskan bidang kejuruteraan dan teknologi untuk manfaat bersama.