Empat pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dan seorang pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membentangkan Projek Sarjana Muda di tiga universiti terkemuka Turki iaitu Istanbul Technical University (ITU), Sakarya University (SU) dan Istanbul Aydin Universiti (IAU) melalui program “MyFKMP International Mobility Programme (MyFIMP)” pada 7 hingga 17 Disember lalu.

Menurut Penyelaras program Dr. Mohammad Sukri Mustapa, program ini adalah bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar terhadap persekitaran pembelajaran dan budaya Turki serta mempelajari sejarah kegemilangan Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah dan Sultan Muhammad Al Fateh.

“Program mobiliti ini merupakan medium yang sangat berharga kepada pelajar UTHM untuk menimba sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman sepanjang program berlangsung di negara antara dua benua ini,” katanya.

Antara pengisian utama program ini ialah pembentangan Projek Sarjana Muda yang telah dilaksanakan oleh para pelajar tahun akhir berkenaan bagi mendapatkan perkongsian ilmu penyelidikan daripada profesor-profesor dalam bidang tertentu. Prestasi cemerlang mereka terbukti apabila panel penilai memberi penilaian yang amat cemerlang semasa pembentangan projek tersebut.

Pencapaian yang membanggakan ini secara tidak langsung berjaya mengharumkan nama UTHM di peringkat antarabangsa seterusnya berjaya membina hubungan baik antara UTHM dan universiti-universiti di Turki.

Source: Pelajar UTHM bentang Projek Sarjana Muda di tiga universiti terkemuka Turki