Sedang kita dihimpit kebimbangan dengan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat, masyarakat hari ini sekali lagi digemparkan dengan kes pembunuhan pasangan suami isteri termasuk seorang anak mereka. Peristiwa hiba pada Syawal ketujuh i bukan sahaja menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat, malah mengingatkan kita kepada beberapa kes bunuh yang berlaku kebelakangan ini. Dalam suasana yang sepatutnya diisi dengan kegembiraan dan silaturahim, tragedi sebegini hadir sebagai tamparan yang menguji kepekaan kita terhadap realiti kehidupan.

Sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan, berlaku kes pembunuhan empat sekeluarga di Kuantan, kes seorang anak menikam ibunya di Alor Setar, serta kes seorang suami membunuh isterinya yang sarat hamil di Kota Tinggi. Terdapat juga kes seorang lelaki membunuh isterinya sebelum menyimpan mayat selama beberapa hari. Semua perbuatan ini mengerikan dan sukar diterima oleh akal yang waras, apatah lagi apabila melibatkan individu yang mempunyai hubungan paling dekat dalam kehidupan mangsa. Hubungan yang sepatutnya berasaskan kasih sayang, kepercayaan dan perlindungan telah bertukar menjadi tragedi yang meragut nyawa. Ini menimbulkan persoalan besar tentang apa yang sedang berlaku dalam struktur emosi dan psikologi masyarakat kita hari ini.

Tragedi seperti ini bukan sekadar isu jenayah luar biasa. Ia adalah cerminan pahit kepada realiti kesihatan mental kebanyakan kita. Tekanan emosi yang dipendam terlalu boleh mencetuskan tindakan di luar kawalan. Dalam banyak keadaan, kemurungan yang tidak dirawat akhirnya meletus dalam bentuk yang paling tragis, dan yang menjadi mangsa sering kali adalah insan yang paling disayangi. Lebih membimbangkan, kejadian ini tidak lagi terhad kepada golongan tertentu, sebaliknya merentas pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang atau status sosial termasuk pelajar sekolah.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan kira-kira satu juta rakyat berumur 15 tahun ke atas mengalami gejala kemurungan dan hampir separuh daripadanya pernah terlintas untuk mencederakan diri atau membunuh diri. Dalam masa yang sama, masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat dua kali ganda, daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023. Bukan sekadar statistik, tetapi ini gambaran jelas bahawa tekanan emosi sedang merentas di semua peringkat umur. Keadaan ini turut memberi isyarat bahawa sistem sokongan sedia ada perlu diperkukuh, manakala kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental perlu dipertingkatkan secara berterusan.

 

Mengapa dan bagaimana ini berlaku?

Ramai mengaitkan kejadian ini dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Inflasi, hutang, kos makanan, perumahan dan pendidikan menjadikan ramai berasa terhimpit dalam kehidupan seharian. Tekanan kewangan ini sering menjadi pencetus kepada kemurungan yang menjejaskan harga diri dan harapan masa depan. Malah, tinjauan Public Health Malaysia pernah menunjukkan bahawa konflik kewangan boleh meretakkan hubungan kekeluargaan, sekali gus menjejaskan kesihatan mental seluruh ahli keluarga. Namun, adalah tidak adil untuk melihat isu ini dari satu sudut sahaja kerana realitinya lebih kompleks dan berlapis.

Tekanan hidup hari ini datang daripada pelbagai arah. Beban kerja yang tinggi, tekanan akademik, konflik rumah tangga dan pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada tekanan emosi yang berpanjangan. Dalam institusi keluarga, komunikasi yang semakin renggang seperti silent treatment dan stonewalling boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental individu. Penggunaan media sosial yang tidak terkawal pula turut mempercepatkan fenomena perbandingan sosial. Ramai cenderung membandingkan kehidupan sebenar dengan gambaran kehidupan sempurna yang dipaparkan secara selektif, sehingga menimbulkan rasa tidak cukup, kecewa dan rendah diri.

Persekitaran fizikal turut memainkan peranan penting dalam membentuk kesejahteraan mental. Kawasan yang sesak, bising atau tidak selamat boleh meningkatkan tekanan harian tanpa disedari. Kekurangan ruang rekreasi dan sokongan komuniti menjadikan individu lebih mudah berasa terasing. Ditambah dengan pengalaman traumatik seperti kehilangan pekerjaan, kehilangan orang tersayang atau kejadian keganasan, tekanan yang tidak ditangani dengan baik boleh meninggalkan kesan berpanjangan. Semua ini menunjukkan bahawa isu kesihatan mental adalah hasil interaksi kompleks antara faktor individu, sosial dan persekitaran.

Lebih membimbangkan, stigma terhadap kesihatan mental masih kuat dalam masyarakat. Individu yang mengalami kemurungan sering dilabel sebagai lemah, tidak kuat iman atau gagal mengawal diri. Persepsi ini menyebabkan ramai memilih untuk berdiam diri dan tidak mendapatkan bantuan. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh menjadi lebih serius apabila tekanan yang dipendam tidak disalurkan dengan cara yang sihat.

 

Adakah masih ada sinar di hujung kelam?

Selagi namanya kehidupan, setiap manusia akan berdepan dengan ujian. Di sinilah pentingnya kesedaran kendiri sebagai asas untuk mengurus tekanan dengan lebih matang dan rasional. Individu perlu peka terhadap emosi diri, berani mengakui kelemahan dan tidak takut untuk mendapatkan bantuan. Kekuatan mental bukan bermaksud tidak pernah berasa lemah, tetapi kemampuan untuk bangkit semula dan terus berfungsi dengan baik dalam kehidupan seharian.

Dalam konteks ini, kepimpinan diri adalah kunci utama. Ia menuntut keupayaan mengawal emosi, membuat keputusan yang rasional dan tidak bertindak secara tergesa-gesa ketika berdepan tekanan. Dalam masa yang sama, sokongan daripada keluarga, rakan dan komuniti memainkan peranan penting sebagai pelindung kepada kesejahteraan mental. Berani meninggalkan media sosial saat anda menikmati masa bersama keluarga. Perbualan yang jujur, masa berkualiti bersama keluarga serta keprihatinan terhadap orang sekeliling mampu membantu mencegah tekanan daripada menjadi lebih parah.

Malah, kajian menunjukkan bahawa sokongan sosial merupakan antara faktor pelindung paling kuat terhadap kemurungan. Berkongsi perasaan dengan individu yang dipercayai dapat membantu menstabilkan emosi serta memberi perspektif baharu terhadap cabaran yang dihadapi. Justeru, membina jaringan sokongan yang sihat perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Mencegah tragedi seperti ini merupakan tanggungjawab kolektif, namun ia perlu bermula daripada keupayaan individu untuk memimpin diri sendiri. Kepimpinan diri menuntut kesedaran emosi, kecekapan mengawal tekanan serta keupayaan membuat keputusan yang rasional dalam situasi mencabar. Dalam dunia hari ini, setiap individu perlu mengenali batas diri, mengurus emosi dengan matang dan mengelakkan tindakan tergesa-gesa ketika berdepan tekanan kehidupan. Keupayaan ini menjadi asas kepada pembentukan kesejahteraan diri, seterusnya memberi kesan positif kepada institusi keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.

Kesedaran kendiri menjadi teras utama dalam memperkukuh kepimpinan diri. Individu yang memiliki kesedaran ini lebih bersedia untuk mendapatkan bantuan, berkomunikasi secara terbuka serta tidak membiarkan tekanan menguasai tindakan. Inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Talian Heal 15555, iaitu perkhidmatan kaunseling 24 jam wajar dipuji dan dimanfaatkan tanpa stigma negatif. Walau bagaimanapun, keberkesanan usaha ini bergantung kepada sejauh mana individu mampu mengawal diri dan mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan bantuan.

 

 

Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa

Jabatan Sains Sosial

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 17 April 2026: Apabila Kasih Sayang Bertukar Tragedi 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2545844