Baru-baru ini kerajaan mengumumkan bahawa cadangan pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) bagi penjawat awam sedang diteliti dan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas, sebagai sebahagian daripada usaha menilai semula budaya kerja dalam konteks keperluan semasa negara. Inisiatif ini mencetuskan perbincangan ramai pihak tentang bagaimana kerja fleksibel boleh disusun semula, terutama dalam sektor awam. Sementara sesetengah pihak melihatnya sebagai langkah praktikal untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja, ada juga yang membangkitkan kebimbangan tentang produktiviti dan keberkesanan perkhidmatan awam.
Persoalannya, apakah perubahan budaya kerja seperti WFH sesuai atau bernilai tambah dalam dunia pendidikan tinggi? Kerana universiti bukan sekadar tempat bekerja: ia adalah tempat bertemu, belajar, berkongsi idea dan membentuk graduan yang kompeten untuk masa depan.
Warisan pandemik: Mengubah paradigma kerja
Pengalaman universiti semasa pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa fleksibiliti bukan lagi sekadar konsep teori. Ketika itu, kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) terpaksa segera beralih sepenuhnya kepada pembelajaran digital dan sistem kerja jarak jauh. Pensyarah, pelajar dan pentadbir universiti mengadaptasi pelbagai platform digital untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) terus berjalan walaupun tanpa kehadiran fizikal di kampus.
Pengalaman tersebut membuka ruang berfikir baharu tentang kerja akademik. Banyak tugasan akademik seperti penulisan artikel ilmiah, analisis data penyelidikan, penyeliaan pelajar pascasiswazah serta pembangunan modul pengajaran sebenarnya tidak terikat kepada ruang pejabat atau bilik kuliah. Aktiviti-aktiviti ini sering memerlukan keadaan tenang dan fokus yang kadangkala lebih mudah dicapai dalam suasana kerja fleksibel.
Produktiviti akademik melalui fleksibiliti
Dalam konteks ini, pengaturan kerja fleksibel berpotensi membantu meningkatkan kualiti akademik. Apabila pensyarah diberi ruang untuk mengurus masa dan lokasi kerja dengan lebih efektif, mereka mungkin dapat memberi tumpuan yang lebih mendalam kepada penulisan ilmiah serta pembangunan idea penyelidikan tanpa gangguan rutin pejabat yang bersifat teknikal.
UTHM sendiri telah mempersiapkan ekosistem akademik yang bersifat fleksibel dan digital, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi Global Technopreneur University menjelang 2030 (GTU2030), yang menekankan bukan sahaja penghasilan graduan kompeten, tetapi juga pembentukan technopreneur dan ekosistem inovasi yang dinamik.
UTHM menekankan ecosystem technopreneur melalui pelbagai inisiatif seperti Innovation and Commercialisation Centre (ICC) yang menyokong penyelidik dalam komersialisasi hasil inovasi melalui pelbagai pendekatan termasuk lesen, penjualan langsung dan penyelidikan kontrak.
Selain itu, UTHM telah berjaya meraih anugerah Technoprenuership University of the Year 2025 di pentas Asia, yang mencerminkan usaha berterusan universiti dalam memacu agenda technopreneur, inovasi dan pengembangan moden untuk memberi impak tinggi kepada masyarakat dan ekonomi. Naib Canselornya, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, menyifatkan pengiktirafan ini sebagai bukti bahawa universiti mampu menggabungkan penyelidikan, keusahawanan dan pendidikan secara holistik dalam era digital.
Pendekatan ini membolehkan universiti seperti UTHM bersedia menghadapi sebarang perubahan dasar kerajaan, termasuk WFH, tanpa menjejaskan penyampaian ilmu dan kualiti graduan.
Kampus: Ekosistem intelektual fizikal
Namun begitu, fleksibiliti kerja tidak bermakna kehadiran fizikal di kampus tidak lagi penting. Universiti adalah sebuah ekosistem intelektual yang hidup melalui interaksi manusia. Perbincangan dalam bilik kuliah, sesi bimbingan bersemuka di makmal, serta aktiviti kokurikulum memainkan peranan kritikal dalam membentuk pengalaman pembelajaran yang holistik.
Kehadiran fizikal di kampus memberi peluang kepada pelajar membina kemahiran sosial, kepimpinan, serta jaringan profesional elemen yang tidak mudah diperoleh sepenuhnya melalui interaksi digital. Tanpa pengalaman ini, universiti berisiko kehilangan fungsi asalnya sebagai tempat penyemaian dialog intelektual, pembentukan sahsiah dan pemupukan semangat community engagement yang kuat.
Menuju model kerja hibrid
Perbincangan tentang WFH dalam sektor awam membuka peluang untuk menilai semula pendekatan kerja akademik. Sebaliknya daripada melihat pilihan “di rumah atau di pejabat”, satu pendekatan progresif ialah model kerja hibrid yang menggabungkan kelebihan kedua-duanya.
Model hibrid membolehkan kakitangan mengekalkan interaksi penting di kampus sambil menikmati fleksibiliti untuk melaksanakan tugas-tugas produktif seperti penyelidikan, penulisan, dan perancangan pengajaran di tempat lain ketika sesuai. Pendekatan ini selari dengan evolusi teknologi digital yang mengubah cara manusia bekerja, belajar dan berkomunikasi, tanpa mengabaikan nilai face‑to‑face interaction yang tak tergantikan dalam pendidikan tinggi.
Kepadatan teknologi dan inovasi sebagai kunci pendidikan masa depan
UTHM juga menekankan penawaran program akademik yang relevan dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan. Universiti merangka kurikulum dengan fokus kepada bidang seperti teknologi lestari, pengangkutan, teknik dan inovasi yang bukan sahaja memberi kemahiran teknikal, malah memupuk semangat keusahawanan (entrepreneurship).
Melalui pelbagai kolaborasi dengan institusi industri dan antarabangsa, termasuk program mobiliti pelajar, latihan industri dan penyelidikan bersama, graduan UTHM dibentuk bukan sekadar sebagai tenaga kerja mahir, tetapi juga sebagai technopreneur yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Memupuk budaya ilmu
Pada akhirnya, universiti bukan sekadar bangunan atau ruang fizikal; ia adalah komuniti ilmu yang berkembang melalui pertukaran idea dan dialog. UTHM menegaskan bahawa sebarang perubahan budaya kerja, termasuk WFH, dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh keberkesanan pembelajaran dan penyelidikan yang sedia ada.
Pendekatan fleksibel ini memastikan ilmu sampai kepada pelajar; graduan dilahirkan sebagai technopreneur yang berdaya saing; dan kecemerlangan universiti terus relevan dalam era digital. Sama ada perbincangan berlaku di dewan kuliah atau melalui skrin digital, yang lebih penting ialah bagaimana budaya kerja dan pembelajaran dapat terus menyokong penciptaan ilmu dan pembangunan insan.
Masa depan pendidikan tinggi bukan ditentukan di mana kita duduk bekerja, tetapi sejauh mana kita terus memupuk budaya ilmu di kampus atau di mana sahaja demi kelestarian kecemerlangan akademik dan kejayaan misi Global Technopreneur University 2030.

Dr. Norhaliza Abu Bakar
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
