Isu kehilangan adab bukan cerita baharu. Kini ia menjelma dalam bentuk yang semakin membimbangkan, terhakis secara senyap tetapi menyeluruh. Dunia semakin pintar, tetapi manusia tampak semakin kasar. Teknologi mempercepat interaksi, tetapi memperdalam jurang empati. Kita bercakap lebih banyak, tetapi mendengar semakin kurang. Kita menzahirkan simpati, tetapi semakin kehilangan empati. Sehinggakan kadang kala sulit sekali mendengarkan perkataan “minta maaf” dan “terima kasih.”

Fenomena ini tidak lagi terbatas kepada perilaku individu. Ia telah menular ke ruang sosial, pentadbiran dan juga dunia ilmu. Di media sosial, budaya menegur dengan hikmah semakin digantikan dengan budaya menyindir dan mempermalukan. Di sekolah serta universiti, kesantunan pelajar terhadap guru dan rakan semakin longgar. Dalam arena politik dan korporat, perbezaan pandangan pula sering berubah menjadi permusuhan peribadi. Kita sedang menyaksikan bagaimana akal budi yang dahulu menjadi nadi tamadun Melayu-Islam kini digantikan dengan emosi digital yang cepat marah, mudah menghukum dan sukar memaafkan.

Antara adab dan algoritma

Sebahagian besar faktor kehilangan adab antaranya berpunca daripada budaya digital yang membentuk semula tabiat manusia. Menurut Dr. Jonathan Haidt, seorang ahli psikologi sosial berkata, era media sosial telah mencipta generasi yang “terlalu terdedah secara sosial tetapi terasing secara emosi.” Pendedahan yang tidak seimbang ini akhirnya membina ruang gema digital, iaitu keadaan di mana kita hanya mendengar suara yang menyokong pandangan sendiri. Dari hari ke hari, manusia hidup dalam gelembung pendapat yang memperkukuh ego dan menolak perbezaan. Fenomena ini turut melahirkan sikap narsisistik baharu iaitu kecenderungan untuk mencari pengiktirafan, perhatian dan “sokongan suka” di alam maya, walaupun dengan menyinggung atau memperlekeh orang lain. Apabila budaya ini berakar, ruang dialog yang beradab semakin mengecil. Akhirnya, biadab mula diterima sebagai kebiasaan baharu.

Ironinya, dunia Islam pernah membina tamadun berasaskan adab terhadap ilmu. Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyatakan bahawa adab ialah asas kepada ta’dib iaitu pendidikan yang membentuk insan seimbang antara akal dan rohani. Pendidikan bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi membentuk pandangan hidup yang tertib dan berprinsip. Namun sistem pendidikan hari ini, yang terlalu menekankan pencapaian kognitif, seolah-olah kehilangan roh itu. Kita sibuk mengajar anak membaca dan mengira, tetapi jarang mengajar mereka bagaimana menjadi manusia dengan nilai insani.

Kritikal tetapi beradab

Dalam dunia kerja, kehilangan adab sering berselindung di sebalik bahasa profesional. Ketika tekanan dan penilaian berasaskan petunjuk prestasi utama menjadi ukuran kejayaan, manusia mula melihat rakan sekerja sebagai pesaing, bukan lagi sebagai pasukan. Budaya tempat kerja yang tidak sihat bukan sekadar berpunca daripada beban tugas, tetapi daripada pudarnya nilai hormat, empati dan timbang rasa. Lebih membimbangkan, perbezaan pandangan kadangkala dijadikan alat untuk menonjolkan diri, sedangkan tujuan sebenar seharusnya mencari penyelesaian bersama.

Kritikal bukan bermaksud biadab. Ketegasan tidak harus menghapuskan kesantunan. Lihat sahaja bagaimana tokoh-tokoh seperti Nelson Mandela atau Tun Dr. Ismail Abdul Rahman menunjukkan bahawa keberanian dan adab boleh berjalan seiring. Mandela tegas melawan penindasan, tetapi tidak pernah menafikan nilai kemanusiaan pihak lawan. Tun Dr. Ismail pula pernah menegaskan, “Kritikan yang tidak beradab hanya menambah kebencian, bukan penyelesaian.”

Budaya tegur dan belajar semula

Kita juga perlu jujur bahawa masyarakat sendiri semakin hilang seni menegur. Kritik sering dilihat sebagai serangan, bukan nasihat. Lantas, ramai memilih untuk diam daripada menegur. Akibatnya, ruang pembetulan menjadi sempit, dan sikap “asal cepat, asal viral” menggantikan budaya semak dan fikir. Barangkali sudah tiba masanya kita mendidik semula masyarakat tentang budaya tegur beradab. Di sinilah peranan media dan institusi pendidikan amat penting, bukan sekadar menyebar maklumat, tetapi membentuk naratif yang mendidik. Media perlu kembali kepada fungsi moralnya, bukan menjadi hakim, tetapi pembimbing akal masyarakat.

Kembali ke akar nilai

Nabi Muhammad SAW diutus “untuk menyempurnakan akhlak manusia.” Pesan ini bukan sekadar ideal moral, tetapi strategi pembangunan sosial. Tiada kemajuan yang berkekalan tanpa akhlak, tiada kestabilan yang benar tanpa adab. Lihat sahaja bagaimana negara-negara maju seperti Jepun memartabatkan disiplin dan sopan santun sebagai tunjang produktiviti. Kejayaan mereka bukan kerana teknologi semata-mata, tetapi kerana nilai. Mereka tidak membina pencakar langit dengan tangan yang kotor oleh biadab.

Di Malaysia, gagasan Malaysia MADANI yang diketengahkan kerajaan berpotensi menjadi landasan untuk mengembalikan makna adab dalam konteks moden, sebagai asas kepada pembinaan masyarakat yang sejahtera dan berperibadi luhur. Namun untuk menjayakannya, setiap individu perlu melihat adab bukan sekadar warisan budaya yang diwarisi turun-temurun, tetapi sebagai prasyarat kemajuan yang mesti dihidupkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

Kembali menjadi manusia

Dalam dunia yang semakin pantas dan sarat dengan persaingan ini, adab bukan sekadar hiasan moral tetapi asas kelangsungan kemanusiaan. Ia menzahirkan keindahan insan yang tidak mampu dicipta oleh teknologi atau digantikan oleh kepintaran buatan. Seperti yang diingatkan oleh Imam Malik, pelajarilah adab sebelum mempelajari ilmu, kerana kemajuan tanpa adab hanyalah keangkuhan yang berwajah moden. Jika benar kita ingin melangkah ke hadapan sebagai bangsa yang maju, marilah kita menegur tanpa menghina, menulis tanpa memperlekeh dan mendengar tanpa mencari salah. Kita tidak kekurangan ilmu, namun kita semakin ketandusan budi, dan tanpa budi, segala kemajuan hanyalah bayang kejayaan yang menunggu masa untuk hilang.

 

 

Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa

Pensyarah (Profesor Madya)

Jabatan Sains Sosial

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 31 Oktober 2025: Antara adab dan biadab, cerminan rapuhnya masyarakat moden 

Antara adab dan biadab, cerminan rapuhnya masyarakat moden

 

2. Bernama (bernama.com), 4 November 2025: Antara Adab Dan Biadab, Cerminan Rapuhnya Masyarakat Moden 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2485712