SETIU – Dalam usaha mempertingkatkan pemahaman berkaitan pelancongan dan seni bina, pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Program KTP, SULAM (UTHM Prihatin) dan lawatan tapak di beberapa lokasi sekitar Terengganu dan Pantai Mangkuk, Penarik, Setiu, Terengganu.

Seramai 34 orang pelajar Kursus Studio Senibina bersama tiga pensyarah kursus, iaitu Dr. Azmal Sabil, Nurul Syaheera Aziz dan Khairul Asyraf Mohd Rodzi telah terlibat dalam program tersebut.

Program itu dijalankan dengan penglibatan secara langsung pelajar dan pensyarah bagi memahami tentang pelancongan, seni bina, makanan, seni reka kraf dan keunikan budaya di Terengganu.

Program itu juga bertujuan mengaplikasikan budaya setempat dalam reka bentuk seni bina di dalam Kursus Studio Senibina.

Program tersebut diisi dengan sesi perkongsian ilmu pelancongan dan senibina Terengganu yang telah dijalankan di Terrapuri Heritage Village, Pantai Mangkuk, Setiu yang mana ia juga dijadikan sebagai kajian kes bagi keperluan Kursus Studio Senibina.

Di samping itu, pelajar juga diberi pendedahan dan pengalaman dalam aspek seni bina menerusi lawatan tapak.

Melalui lawatan tapak, pelajar didedahkan dengan kemahiran teknikal bagi mendapatkan keterangan yang lebih lanjut mengenai analisis tapak bagi keperluan Kursus Studio Senibina daripada masyarakat setempat.

Di samping itu, pelajar juga diberi pemahaman tentang pelancongan, budaya dan seni bina Terengganu oleh pihak Muzium Negeri Terengganu.

Pelajar juga dapat melihat dan merasai suasana malam perkampungan budaya Terengganu terutamanya makanan tradisi, persembahan budaya tradisi serta ‘Pertandingan Malam Tujuh Likur’ dengan pelbagai reka bentuk susunan pelita dari setiap daerah di Terengganu yang diadakan di bawah Program Peliter, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Malah, pelajar didedahkan dengan ilmu dan aktiviti mencanting batik dan songket di Noor Arfa Batik dan turut menyertai pertandingan mewarna batik kit.

Aktiviti itu bagi memberi mendedahan dan pengalaman kepada para pelajar dalam teknik campuran warna pada kain dan pelbagai teknik batik serta corak dapat dihasilkan bagi kain batik.

Selain memahami pelancongan Terengganu, wakil dari Pejabat Daerah Kuala Nerus dan juga Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia  (MTIB) berkongsi input pembinaan menggunakan bahan binaan semula jadi iaitu buluh di tapak Surau Buluh, Kuala Nerus, Terengganu.

Pelajar dapat melihat, mempelajari dan memahami pembinaan seni bina dan kelestarian reka bentuk seni bina yang menggunakan bahan binaan buluh dan diintegrasikan dalam projek akhir bagi Kursus Studio Senibina 2.