Dalam landskap ketidaktentuan global seperti ketegangan geopolitik yang berlanjutan, pengetatan dasar monetari serta peningkatan risiko kelembapan ekonomi di seluruh dunia, syarikat tempatan menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan ketangkasan, adaptasi dan pengurusan yang dinamik untuk memastikan mereka berdaya saing dalam pasaran domestik dan global.

Tinjauan CEO Global Tahunan (Malaysia) ke-27 PwC menunjukkan bahawa hampir separuh atau 43 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di negara ini menyatakan tidak percaya terhadap kemampuan syarikat mereka untuk berdaya maju dari segi ekonomi dalam tempoh satu dekad akan datang. Cabaran ini mencakupi perubahan teknologi dan isu peralihan iklim, yang memerlukan tindakan segera dan strategi adaptasi yang berfokus pada pengurusan yang dinamik.

Oleh itu, syarikat tempatan perlu berubah dengan memberikan respons yang cepat terhadap perubahan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar. Syarikat perlu memperkasakan struktur dan proses yang membolehkan mereka membuat keputusan dengan cepat dan melaksanakan perubahan dengan pantas. Ini termasuklah kemampuan untuk merombak model perniagaan, produk atau perkhidmatan dengan segera berdasarkan kepada maklum balas dan tren pasaran.

Pelbagai pembaharuan telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperkasakan ekonomi negara seperti rangka kerja Ekonomi Madani yang telah menyediakan pelan hala tuju negara untuk memacu Malaysia ke rantaian nilai  berimpak tinggi.

Kerajaan telah melancarkan Ekonomi Madani, sejajar dengan dokumen dasar sokongan, iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk merangsang ekonomi negara dalam jangka panjang.

Walaubagaimanapun, syarikat perlu merebut segala peluang yang ada dengan tangkas berasaskan keperluan keperluan pasaran semasa untuk memperkasakan daya saing mereka.

 

Lanskap ekonomi global

Menurut laporan tahunan PwC, sentimen CEO di Malaysia agak bercampur terhadap prospek ekonomi. Meskipun terdapat optimisme ekonomi tahun ini akan meningkat, kebimbangan terhadap isu-isu seperti gangguan teknologi dan perubahan iklim telah mencetuskan ketidakpastian.

45 peratus CEO di rantau Asia Pasifik menjangkakan penurunan ekonomi global manakala 40 peratus menjangkakan peningkatan pada tahun 2024. Ketidaktentuan ekonomi global memerlukan syarikat tempatan untuk mengambil inisiatif dan menyusun strategi adaptasi yang lebih tuntas dan berkesan untuk berhadapan dengan ketidaktentuan ini dan cabaran global.

 

Kekurangan kemahiran dan kebimbangan teknologi

Keputusan tinjauan PwC menunjukkan isu kekurangan kemahiran, yang mana 70 peratus CEO mengakui kekurangan kemahiran tenaga kerja dan 64 peratus melaporkan kekurangan keupayaan teknologi. Ini menunjukkan bahawa tenaga kerja adalah aset utama yang perlu diperkasakan untuk menangani cabaran ini.

Transformasi digital perlu diberikan tumpuan utama, dan tindakan segera perlu diambil untuk meningkatkan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan syarikat tempatan bersedia berhadapan era industri 4.0.

 

Pendekatan yang dinamik

Dalam menangani ketidakyakinan CEO dalam menghadapi cabaran global, syarikat tempatan perlu lebih dinamik dalam strategi mereka. Pendekatan dinamik merangkumi tindakan terhadap perubahan, penekanan pada inovasi, dan keupayaan untuk beradaptasi dengan cepat kepada persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah.

Dengan mengintegrasikan elemen-elemen dinamik ini, syarikat dapat membentuk pengurusan yang efektif, memperkukuhkan daya saing dan menjadikan ancaman ketidakpastian ini sebagai satu peluang untuk memperkasakan syarikat dalam arena perniagaan global yang kompetitif.

Oleh itu, syarikat perlu laksana pengurusan yang dinamik untuk meningkatkan daya saing dan kejayaan jangka panjang mereka.

 

Adaptasi strategik terhadap perubahan pasaran

Pertama, strategi perniagaan haruslah bersifat adaptif dan dinamik. Syarikat perlu menyesuaikan model perniagaan mereka secara strategik mengikut kehendak pasaran. Ini melibatkan kajian semula strategi, pelan tindakan yang berorientasikan kepada hasil, dan penyesuaian terhadap struktur organisasi untuk memastikan kesesuaian terhadap perubahan pasaran.

 

Dinamika dalam pengurusan sumber manusia

Kedua, pentingnya pendidikan dan latihan yang berterusan dalam meningkatkan kemahiran pekerja menjadi teras utama dalam pengurusan sumber manusia yang lebih dinamik.

Peningkatan kemahiran melalui program latihan dalam organisasi membuka peluang kepada pekerja untuk memperoleh pengetahuan terkini, meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada keberkesanan tenaga kerja secara keseluruhan.

 

Adaptasi teknologi dan transformasi digital

Ketiga, dalam menghadapi cabaran teknologi, syarikat perlu lebih dinamik dalam mengintegrasikan teknologi terkini dan pelaksanaan strategi transformasi digital.

Pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), analitik data dan automasi adalah langkah penting untuk meningkatkan efisiensi operasi dan memberikan nilai tambah kepada pelanggan. Dengan ini, syarikat mampu meningkatkan daya saing dalam era perniagaan digital yang berkembang dengan pantas.

 

Inovasi sebagai pemacu pertumbuhan

Keempat, inovasi dalam produk dan perkhidmatan menjadi kunci kepada dinamika untuk memenangi  pasaran. Syarikat perlu berada di hadapan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang memenuhi kehendak dan citarasa pelanggan. Kajian pasaran yang teliti dan pemantauan pesaing adalah kunci kepada pembangunan produk yang relevan.

Syarikat perlu membentuk persekitaran yang kreatif, menyokong projek inovatif dan bersedia mengambil risiko untuk mencipta produk yang relevan kepada pasaran. Inisiatif-inisiatif inovasi bukan sahaja merangsang pertumbuhan syarikat tetapi juga membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah.

 

Penekanan ke atas keseimbangan dan kestabilan

Kelima, syarikat perlu dinamik dalam mencari keseimbangan dan kestabilan dalam pengurusan syarikat. Langkah-langkah seperti perancangan kewangan yang bijak, pematuhan standard dan strategi pengurusan risiko yang berkesan memberikan asas yang kukuh kepada pengurusan yang berkesan. Keseimbangan ini membantu syarikat mencapai pengurusan yang dinamik dan kestabilan operasi dalam berhadapan cabaran semasa.

 

Kelestarian dan tanggungjawab sosial

Keenam, syarikat perlu dinamik dalam menyumbang kepada impak sosial dan alam sekitar, membangunkan amalan yang lestari dan menyumbang kepada komuniti setempat. Tanggungjawab sosial korporat tidak hanya meningkatkan imej syarikat tetapi juga merangkumi tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

 

Pentingnya kepemimpinan dinamik

Ketujuh, dalam mencapai organisasi yang dinamik, kepemimpinan memainkan peranan penting. CEO dan pengurusan kanan perlu memberi contoh kepimpinan yang baik, memotivasi pekerja untuk berinovasi dan memastikan kesinambungan dalam perubahan strategi yang tuntas. Kepemimpinan dinamik memberikan arah yang jelas dalam mencapai transformasi syarikat dengan merapatkan jurang antara matlamat organisasi dan pencapaian syarikat.

 

Pengurusan risiko dan keberkesanan

Kelapan, pengurusan risiko adalah penting dalam pengurusan yang dinamik. Syarikat perlu menilai dan mengurus risiko dalam perniagaan sejajar dengan perubahan pasaran. Dengan merancang strategi risiko yang berkesan, syarikat dapat mengambil tindakan yang diperlukan untuk menghadapi risiko yang boleh memberi impak negatif kepada syarikat.

 

Kerjasama industri dan rantai bekalan yang efisien

Kesembilan, kerjasama dalam rantai bekalan dan industri adalah penting untuk memperkasakan syarikat tempatan. Melalui kerjasama ini, syarikat dapat berkongsi maklumat, sumber daya dan teknologi untuk mencipta nilai tambah. Kerjasama industri juga membolehkan syarikat mendapatkan akses kepada inovasi dan perubahan dalam keperluan pasaran dengan lebih cepat.

 

Kesimpulannya, perubahan perlu dilihat sebagai peluang untuk membantu syarikat lebih berdaya saing. Kesanggupan untuk beradaptasi dengan perubahan membantu syarikat untuk berkembang dalam persekitaran perniagaan yang mencabar. Dengan mengaplikasikan pendekatan dinamik dalam pengurusan sumber manusia, teknologi dan inovasi, syarikat tempatan mampu meningkatkat daya saing dalam era industri 4.0. Pengurusan yang dinamik adalah kunci kepada perubahan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dan memenangi pasaran global yang berubah dengan pantas.

 

 

 

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)