Kesan Covid-19: Generasi keciciran dalam pembelajaran perlu terus dibantu

Gambar hiasan: BERNAMA

Tahun 2020 kita melalui fasa yang sungguh mencabar iaitu penyebaran virus Covid -19. Covid-19 telah memaksa penutupan sekolah di 188 negara dan menjejaskan proses pembelajaran lebih 1.7 bilion pelajar. Penutupan sekolah dan keciciran pembelajaran secara normal sudah menjadi cabaran bagi kebanyakan negara sama ada negara berpendapatan rendah ataupun tinggi. Bagi kebanyakan negara berpendapatan tinggi, apabila sekolah ditutup maka pendidikan telah dipindahkan dengan pantas ke platform digital. Tetapi bagi negara berpendapatan rendah, tempoh berpindah ke platform digital menjadi tiga kali ganda lebih lama berbanding negara berpendapatan tinggi. Sesetengah negara dapat menyampaikan pembelajaran jarak jauh melalui radio atau televisyen tetapi untuk kebanyakan keluarga yang hidup dalam kemiskinan, akan ada jurang penyampaian pembelajaran dek kerana cabaran Internet dan keperluan komputer riba. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa sebilangan besar pelajar mungkin telah kehilangan beberapa kemahiran akademik yang mereka perolehi sebelum ini dan terlepas untuk mendapatkan kemahiran yang baharu.

Memandangkan Malaysia juga melalui fasa hampir 35 minggu penutupan sekolah iaitu antara yang paling lama di dunia, wujud kebimbangan masyarakat apabila jumlah belia yang tidak berminat untuk menyambung pelajaran semakin meningkat, yang memungkinkan kadar keciciran sekolah yang lebih tinggi berbanding dengan tempoh pra-pandemik. Terdapat kajian yang menganggarkan bahawa penutupan sekolah selama tiga bulan boleh disama ertikan dengan keciciran pembelajaran selama setahun. Dalam menguruskan pembelajaran dalam talian sebagai sebahagian daripada langkah untuk menghadapi kesan daripada penutupan sekolah, kerajaan mengedarkan komputer riba di bawah program Inisiatif Cerdik. Walau bagaimanapun, guru masih sukar untuk berhubung rapat dengan pelajar kerana pelajar mempunyai sambungan Internet yang terhad di rumah atau akses terhad kepada peranti digital. Isu akses termasuk kekurangan sambungan internet, infrastruktur teknologi, akses kepada perkakasan atau persekitaran pembelajaran di rumah yang selamat, semuanya menimbulkan halangan terbesar kepada pendidikan secara dalam talian.

Oleh itu, untuk memulihkan keciciran pembelajaran yang timbul daripada krisis Covid-19, langkah-langkah berikut boleh di pertimbangkan. Antara langkah yang boleh diambil adalah memberi tumpuan kepada penyelesaian berteknologi rendah atau tanpa teknologi. Teknologi pendidikan akan membolehkan pembelajaran diteruskan bagi kebanyakan 1.4 bilion pelajar yang tidak bersekolah. Tetapi bagi sebahagian besar pelajar ini, penyelesaian teknologi tidak akan membantu. Jurang digital adalah isu yang besar dan mendesak, yang memfokuskan semata-mata pada risiko teknologi, yang berpotensi menjuruskan kepada ketidaksamaan pendidikan, bukan sahaja di negara berpendapatan rendah tetapi di semua negara. Alternatifnya adalah kepada kewujudan ed-tech. Penyiaran TV dan radio adalah satu alternatif yang murah dan berkesan, begitu juga dengan penggunaan telefon mudah alih berciri contohnya melalui penggunaan sistem pesanan ringkas. Pengagihan bahan yang disasarkan seperti buku teks untuk matematik dan bacaan, juga boleh menjadi strategi penting. Dengan mengguna pakai gabungan campur tangan berteknologi rendah dan tinggi, semua kanak-kanak di Malaysia boleh mengikuti sukatan pelajaran pendidikan mereka walaupun menghadapi krisis pandemik yang berterusan, sekali gus melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan pada masa hadapan.

Pelbagai usaha kerajaan banyak tertumpu pada mendapatkan kandungan kepada pelajar dalam pelbagai bentuk. Walau bagaimanapun, keletihan akan muncul apabila ibu bapa yang terlalu tertekan dan pelajar yang tidak biasa dibimbing sendiri berasa kurang bermotivasi untuk terlibat. Mencari cara untuk membina interaksi, walaupun dari jauh dan kandungan suapan titisan menggunakan kaedah yang menarik adalah penting – terutamanya apabila media massa merupakan satu-satunya pilihan. Cara kreatif untuk mendayakan maklum balas contoh melalui penggunaan sistem pesanan ringkas boleh membantu, bersama-sama dengan hadiah, pertandingan dan penggunaan media sosial atau aplikasi WhatsApp. Model peranan rakan sebaya, atau penggunaan ahli komuniti yang berpengaruh untuk mempromosikan kepentingan pembelajaran di rumah (dan berpotensi memainkan peranan dalam penyampaian bahan) juga boleh menjadi strategi utama.

Guru juga perlu kreatif bagi mencari kaedah terbaik dan menukar cara pembelajaran mengikut kesesuaian pelajar seperti menjalankan kelas mengikut jadual waktu yang telah diatur, menggunakan pautan YouTube bagi menarik minat pelajar untuk belajar dan buat modul menggunakan aplikasi ‘TikTok’ atau pergi ke rumah pelajar dan membawa modul untuk mereka sendiri buat. Selain itu, guru perlu peka dan tahu apa masalah yang dihadapi oleh pelajar, sekiranya mereka tidak dapat menyertai kelas atau tidak menghantar kerja sekolah yang telah diarahkan.

Walaupun fasa Covid -19 ini telah berlalu, kesan kepada pelajar masih lagi dirasa. Isu keciciran akibat Covid -19 harus terus diberi perhatian. Kita perlu bekerjasama bagi membantu pelajar pulih daripada cabaran pembelajaran dan trauma yang dialami ketika pandemik Covid-19 – bukan sahaja untuk mengenal pasti bagaimana pendekatan persekolahan yang lebih berkesan, tetapi juga untuk mencari penyelesaian kreatif dan praktikal yang akan menggerakkan keseluruhan sistem, memaksimumkan pembelajaran dan membina daya tahan. Keadaan akan kelihatan berbeza di setiap negara. Pelajar, guru dan sistem sekolah perlu sama-sama meningkatkan keupayaan sekolah bagi mengatasi gangguan pada masa akan datang. Tidak semua penyelesaian yang dicadangkan semestinya berfungsi: kita perlu ‘gagal cepat’ dan menyesuaikan diri, membina dan menambah asas bukti. Meskipun  berlaku  kemusnahan  disebabkan  oleh  pandemik  Covid-19,  terdapat peluang yang luas untuk “membina semula dengan lebih baik” dalam pendidikan. Yang penting, kita memerlukan semua usaha kreatif yang ada untuk mengelakkan kesan sekunder terburuk Covid-19 dalam pendidikan dan mencegah generasi pembelajaran yang hilang.

 

 

 

 

Dr. Syarizul Amri Mohd Dzulkifli

Pensyarah Kanan 

Fakulti Pengajian Diploma, 

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Ts. Dr. Mazidah Mat Rejab 

Pensyarah Kanan 

Jabatan Kejuruteraan Perisian 

Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat 

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)   

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe