Tanggal 20 November adalah tarikh bagi sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang  diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan UNESCO sejak 14 Disember 1954. Pada tahun ini 2023, Malaysia menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia dengan tema “Hak Kami Masa Depan Kami.” Hari ini diraikan demi mengiktiraf dan memfokuskan kepada perkembangan dan potensi kanak-kanak yang bakal menjadi aset kepada negara.

Setiap kanak-kanak mempunyai bakat terpendam serta keistimewaan tersendiri. Bakat dan keistimewaan mereka perlu dicungkil dan digilap dari sekarang agar menjadi insan kamil sejati selaras dengan falsafah pendidikan negara iaitu mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Kanak-kanak pada hari ini adalah generasi pelapis masa hadapan yang akan menentukan kejayaan sesebuah negara dan memacu ia ke arah negara yang lebih gemilang, berpendapatan tinggi dan berdaya saing sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Dalam meraikan hari tersebut, pelbagai aktiviti dilaksanakan di semua peringkat sekolah seperti taklimat, persembahan dan aktiviti kanak-kanak seperti program ‘Got Talents’ yang mana para pelajar mempersembahkan bakat masing-masing dan kelebihan yang ada pada mereka. Selain itu diadakan juga acara penyampaian anugerah kepada kanak-kanak yang menunjukkan keistimewaan atau pencapaian luar biasa sama ada dalam kalangan masyarakat ataupun di peringkat yang lebih tinggi.

Namun dalam kita meraikan sambutannya, jangan kita lupa bahawa Hari Kanak-Kanak Sedunia (World Children’s Day) ini adalah hari untuk meraikan seluruh kanak-kanak serata dunia termasuk juga kanak-kanak yang berada di bumi Gaza, Palestin. Kanak-kanak di sana juga mempunyai hak dan mempunyai masa hadapan mereka. Namun hakikatnya, apa yang kita lihat sekarang puak rejim Zionis Yahudi laknatullahu ‘alaihim, tanpa rasa belas kasihan terus mengebom dan membunuh ribuan kanak-kanak yang tidak berdosa. Ramai kanak-kanak yang turut menjadi tawanan mereka. Sedang kita riang menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia, sementara kanak-kanak di Gaza pula ditangkap dan dipukul serta diberi layanan kasar.

Saban hari kita melihat melalui saluran-saluran media sosial seperti Telegram, Tweeter (X), YouTube atau Facebook, ramai kanak-kanak telah terbunuh dalam keadaan yang mengerikan dan menyayat hati yang membuatkan kita tidak sanggup untuk menonton. Pilu hati kita apabila melihat kanak-kanak termasuk bayi, ada yang hancur lebur tubuh mereka dibom, ada yang hilang dan terputus anggota badan, ada yang mati tersepit di celahan runtuhan bangunan namun tidak sempat diselamatkan, ada yang menjerit-jerit mencari ibu bapa mereka dalam keadaan cedera parah dan berdarah, ada yang dipikul oleh ayah mereka sambil menjerit meminta bantuan untuk diselamatkan. Apa yang menyedihkan lagi ialah anak-anak kecil, bayi yang memerlukan rawatan di hospital, namun mereka tidak dapat diselamatkan kerana tentara penjajah rejin Zionis mengebom dan menghancur semua hospital dan peralatan-peralatan bantuan hospital. Apakah sebenarnya yang dimahukan oleh penjajah Zionis Yahudi ini sehingga sanggup menyerang kanak-kanak sehingga sedemikian rupa?

Di manakah Undang-undang Antarabangsa (International Law) dan di manakah pemimpin pemimpin negara Arab, negara Islam yang lain? Di manakah mereka semua dan kenapa begitu lambat untuk membuat sebarang tindakan? Sampai bilakah kanak-kanak di Gaza akan terus menjadi mangsa kegilaan puak rejim Zionis ini sebelum persetujuan gencatan senjata tercapai? Inilah yang patut kita semua perlu bersatu dan sepakat serta terus mendesak agar semua pihak yang bertanggungjawab segera memainkan peranan mereka dan menamatkan pembunuhan berdarah ini serta merta terutamanya ke atas kanak-kanak yang suci dan tidak berdosa ini.

Sehingga ke hari ini bilangan kanak-kanak yang terbunuh dalam konflik Israel-Palestin telah menghampir angka 6000 orang. Adakah kita hanya akan menunggu sehingga angka itu menghampir 10,000? Kita seharusnya terus lantang menyuarakan hak kanak-kanak Palestin yang mesti dikembalikan. Mereka berhak hidup dengan penuh gembira dan keriangan serta berhak mendapat kasih sayang yang cukup daripada ibu bapa tersayang. Mereka berhak hidup dengan aman damai, bermain riang bersama teman pejuangan, berhak mendapat pendidikan yang baik. Mereka berhak mendapatkan semua itu sepertimana kanak-kanak lain di seluruh dunia. Entah berapa tahun pula keadaan mereka akan pulih selepas tamatnya penderitaan ini.

Oleh itu, kita rakyat Malaysia yang hidup dengan penuh aman, yang cukup dengan segala keperluan kita, ayuh sama-sama kita terus memberi bantuan kepada rakyat Palestin terutamanya bantuan kepada kanak-kanak comel tidak berdosa yang masih hidup dan perlu meneruskan hidup mereka. Apa yang sangat merisaukan adalah bagaimana mereka hendak berhadapan musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi. Banyak keperluan asas diperlukan seperti selimut, pakaian dan tempat berteduh yang selesa dan hangat dari kesejukan. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan mereka dan membantu mereka mengharungi hari-hari mereka pada masa hadapan.

Ya Allah, Engkau selamatkan kanak-kanak di bumi Palestin, kembalikan zaman keriangan mereka dan jadikan mereka kanak-kanak yang hebat pada masa hadapan. Ya Allah Engkau bantulah para pejuang dan mujahidin di Palestin, Engkau bebaskanlah Palestin dari cengkaman jajahan bangsa Yahudi Zionis laknatullah yang zalim dan melampaui batas dan tamatkanlah peperangan ini dengan segera ya Allah!.  Sesungguhnya Engkau Maha Perkasa, Maha Mendengar dan Maha Berkehendak melakukan sesuatu. Amin.. 

 

 

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)