Setiap keluarga, ada seseorang yang menjadi tunjang utama yang tidak ternilai harganya, penyalur  keharmonian dan kebahagiaan keluarga. Dia ialah seorang ibu, ummi, mama, emak dan bonda kita . Gelaran ‘Srikandi’ bukan hanya sekadar sekadar gelaran biasa buat beliau, namun ia merupakan sebuah penghargaan yang tidak dapat dinilai walaupun dengan segunung emas untuk segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh seorang ibu.

Setiap hari, kebiasaannya ibu bangun seawal pagi untuk memastikan keperluan keluarganya lengkap. Tidak dinafikan ada sebahagian tugasan ini turut digalas oleh kaum bapa, ini merupakan tanggungjawab bagi setiap keluarga yang mana ibu dan bapa saling membantu dan melengkapi antara satu sama lain. Kebiasaannya ibu merupakan orang pertama yang menghidangkan sarapan di atas meja, ibu tetap menghadiahkan keluarga senyuman di bibir walaupun mungkin terasa letih selepas menjalani tugas-tugas harian. Kehadirannya menghadiahkan keseimbangan dan ketenangan kepada setiap anggota keluarga.

Peranannya tidak terhenti dan terbatas hanya di rumah. Ibu juga aktif dengan tanggungjawabnya yang penting di luar rumah. Ibu menguruskan pelbagai tanggungjawab seperti bekerja, memantau pendidikan anak-anak dan turut serta dalam kegiatan sosial masyarakat. Walaupun banyak cabaran dihadapi, namun beliau sentiasa tabah dan berusaha yang terbaik demi kebahagiaan keluarga.

Dalam pandangan kaca mata anak-anak, ibu adalah contoh teladan yang patut  dan sering diikuti.  Kesabaran, kelembutan dan kasih sayang seorang ibu dapat membentuk akhlak yang mulia dalam diri anak-anak. Ibu tidak hanya mendidik mereka dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga menerapkan nilai-nilai kehidupan yang penting.

Ibu merupakan srikandi keluarga, ibu juga pahlawan sebenar yang layak dihormati dan disanjungi. Segala jasa dan pengorbanannya tidak akan pernah terbalas oleh kita. Cuba kita imbau semula kenangan lalu, ibu ke hulu ke hilir mengusung kita dalam perutnya selama sembilan bulan tanpa mengenal erti penat lelah. Selepas kita dilahirkan, ibu menyambung tanggungjawab dengan menjaga kita 24 jam setiap hari yang pada ketika itu masih bayi. Belum lagi dilihat pengorbanan ibu menyusukan kita, menjaga kita yang menangis kerana kembung perut dan sebagainya. Hargai serta hulurkan kasih sayang kita sebagai anak – anak kepada ibu, bukan hanya pada Hari Ibu, tetapi setiap hari dalam setiap tadahan doa kita pada Yang Maha Esa. Sungguh tinggi martabat seorang ibu di sisi Islam.

Firman Allah SWT, Surah Al – Ahqaf 46:15.

“… Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 30 puluh bulan…”

Dalam kehidupan ini, ibu adalah permata yang paling berharga. srikandi keluarga, semoga Tuhan sentiasa memberkati ibu dan memberikan kesihatan yang baik. Terima kasih atas segala pengorbanan dan kasih sayangmu wahai ibu. Hargailah jihad seorang ibu kerana ia bukanlah sekadar istilah, ia merupakan gambaran nyata daripada perjuangan yang dilakukan oleh seorang ibu setiap hari. Ibu menghadapi rintangan dengan keberanian, tanpa pernah mengharapkan penghargaan atau pujian. Dedikasi seorang ibu terhadap kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga adalah pilar utama yang menjaga keutuhan sebuah rumah tangga.

Firman Allah SWT, Surah Al – Nisa’  Ayat 36.

“Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”

 

 

 

 

 

Nurulisyazila Othaman

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)