Amalan ‘GRS’ wujudkan budaya mahasiswa berwibawa di universiti

Jika di peringkat sekolah rendah dan menengah, amalan 3S (Senyum, Sapa dan Salam) bukanlah perkara baharu. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah,” (HR Tirmizi dan Abu Dzar). Manakala daripada Hadis Riwayat Trimidzi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi, sabda Nabi Muhammad SAW, “Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah.”

Amalan 3S telah lama dipraktikkan bertujuan untuk menjiwai amalan penyayang antara guru dan murid, menginsafi bahawa kehadiran murid merupakan rahmat kepada sekolah, menyedari bahawa setiap murid adalah aset kepada sekolah dan menghargai sumbangan murid, ibu bapa, komuniti dan masyarakat kepada sekolah. Melalui amalan dan nilai murni yang diperkenalkan di peringkat primer dan menengah tersebut, adalah wajar amalan tersebut disambung dan diteruskan lagi di peringkat tertiari seperti di universiti, politeknik dan kolej komuniti.

Mengambil pendekatan dan roh tersebut, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil insiatif memperkenalkan Amalan Greet, Respect and Smile (GRS) di awal semester sesi 2023/2024 sebagai menyambung amalan 3S.

Di FPTP, amalan Salam, Hormat dan Senyum (GRS) telah menjadi medium penting dalam memupuk budaya yang berwibawa dalam kalangan mahasiswa dan staf fakulti. GRS bukan sahaja menjadi tanda hormat dan sopan santun, tetapi ia juga membawa banyak kelebihan kepada warga UTHM khususnya dan komuniti setempat amnya. Artikel ini bertujuan untuk meneroka beberapa aspek kelebihan amalan GRS dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di fakulti dan universiti amnya.

Pertamanya, amalan GRS membantu dalam membina hubungan yang positif dalam kalangan mahasiswa, pensyarah, dan staf sokongan di fakulti/universiti. Apabila semua pihak mengamalkan GRS, suasana di fakulti menjadi lebih mesra dan membina persekitaran yang menyokong pengajaran dan pembelajaran yang efektif.

Keduanya, fakulti/universiti merupakan tempat yang mempunyai mahasiswa dan staf dari pelbagai latar belakang budaya. Amalan GRS adalah jambatan yang menyatukan kepelbagaian ini dengan saling menghormati nilai-nilai, adat dan budaya yang berbeza. Ini memupuk toleransi dan pemahaman antara budaya yang berlainan.

Selain itu, amalan GRS juga mampu membantu dalam pembangunan kecekapan sosial dalam kalangan mahasiswa. Mereka belajar bagaimana berinteraksi dengan lebih baik, berkomunikasi dengan berkesan, dan membina rangkaian sosial yang lebih luas. Ianya merupakan kemahiran yang sangat penting dalam kehidupan semasa dan selepas pengajian terutama apabila mereka mula menceburi bidang pekerjaan.

Apabila suasana di fakulti/universiti penuh dengan amalan Salam, Hormat dan Senyum, mahasiswa berasa lebih selesa dalam suasana pengajaran dan pembelajaran. Mereka cenderung untuk bertanya soalan, berinteraksi dengan pensyarah dan membina hubungan kerjasama dengan rakan sekuliah, yang pada gilirannya menyumbang kepada pembelajaran yang lebih baik.

Amalan GRS juga melibatkan nilai-nilai etika yang penting. Mahasiswa yang mengamalkan GRS kelak belajar untuk menghormati hak dan keperluan orang lain. Ini menyemai kesedaran etika sosial yang utama dalam kehidupan profesional dan peribadi mereka.

Seterusnya, fakulti/universiti yang mengamalkan budaya GRS akan mempunyai reputasi yang baik di mata masyarakat. Ini boleh memberi impak padu, harmoni dan berkualiti tinggi terhadap pelajar dan pensyarah selain serta memberikan faedah kepada reputasi keseluruhan universiti.

Secara kesimpulannya, amalan Salam, Hormat dan Senyum adalah lebih daripada sekadar tanda aras sopan santun; ia adalah asas budaya berwibawa di fakulti/universiti. Dengan mengamalkan GRS, mahasiswa membina hubungan positif, menyebarkan kebudayaan kepelbagaian, membina kecekapan sosial, menyumbang kepada pembelajaran yang lebih baik, menyemai kesedaran etika, dan meningkatkan reputasi fakulti/universiti. Amalan ini adalah asas yang kukuh dalam membina komuniti yang berwibawa dan memacu kejayaan mahasiswa dalam pengajian dan pembelajaran mereka diperingkat tertiari.

 

 

 

 

Dr. Anim Zalina Azizan

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe