Sultan Johor terima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal

Canselor UTHM, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (kiri) menyerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal kepada DYMM Sutan Johor (kanan).

Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 2 Dis 2023 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ketika berlangsungnya sidang khas pada hari pertama Istiadat Konvokesyen Ke-23 yang diadakan di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Untuk rekod, DYMM Sultan Johor merupakan Canselor UTHM sejak tahun 2002 hingga awal tahun 2022.

Pada 3 Disember tahun lalu, Tunku Mahkota Johor dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baharu.

Manakala, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu bersama Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani.

Anugerah tersebut diberikan bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan baginda dalam kepimpinan lestari kepada UTHM, Bangsa Johor dan Malaysia.

Merentasi beberapa dekad, DYMM Sultan Johor telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Johor dengan menonjolkan minat baginda yang mendalam terhadap pelbagai bidang, termasuklah bidang teknologi kejuruteraan mekanikal. 

Bersempena ulang tahun UTHM ke-25, baginda telah memberikan sumbangan besar kepada universiti ini dengan menyokong pengembangan program-program inovatif antaranya program Aeronautik, termasuklah pernah menyumbang pesawat jenis “Lake Renegade LA-270” untuk kegunaan program tersebut. 

Selain itu, baginda juga menyokong pengenalan Program Sarjana Muda dalam Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel, sejajar dengan perkembangan industri kereta api di Malaysia.

Ketika menjadi Canselor UTHM selama 20 tahun, baginda telah meletakkan nama universiti ini di persada antarabangsa melalui sokongan kewangan dan kerjasama dengan institusi pendidikan serta industri antarabangsa.

Baginda merupakan Sultan yang berjiwa rakyat dan amat sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor (KMJ).

Aktiviti yang berteraskan kerja sosial yang diilhamkan oleh DYMM Tuanku Sultan Ibrahim sejak tahun 2001 ketika baginda menjadi Tunku Mahkota Johor adalah bertujuan untuk mendekatkan istana dengan rakyat selain mempromosikan industri pelancongan. 

Program KMJ dengan konvoi pelbagai jenis kenderaan dijadikan acara tahunan yang disertai oleh YAB Menteri Besar dan Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri di semua 10 daerah di negeri Johor.

Program Kembara Mahkota Johor memberi pengalaman dan faedah kepada Anggota Pentadbiran Negeri sehingga berupaya melaksanakan dasar pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat khususnya yang tinggal di luar bandar.

Bersempena dengan program Kembara Mahkota Johor 2010 yang bertujuan untuk mendekatkan hubungan keluarga DiRaja Johor dengan rakyat, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah mencipta sejarah apabila menjadi sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari dan melakukan prosedur “turn table” bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan. 

Ini melayakkan baginda memperoleh Lesen Memandu Lokomotif Kelas 26 yang menyumbang kepada warisan kejuruteraan negara serta diiktiraf oleh Malaysia Book of Records. 

Di samping itu, baginda juga berkelayakan mengendali pelbagai jentera pengangkutan di antaranya helikopter, pesawat jet, kapal layar, bot berkelajuan tinggi, ’Mack Truck’ dan juga bas.

Pada tahun 2022, baginda menzahirkan minat dan sokongan terhadap perkembangan infrastruktur dan hubungan bilateral dengan Singapura melalui pelaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link. 

RTS Link merupakan sistem transit aliran ringan pertama dibina di Johor Bahru yang mana Johor merupakan pintu masuk utama di selatan negara yang dijangka dapat mengurangkan kadar kesesakan di Tambak Johor sehingga 35 peratus dan mampu menampung seramai 10,000 penumpang setiap jam. 

Projek RTS Link tersebut bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosioekonomi, malah bakal mengubah landskap pengangkutan awam di Johor.

Baginda turut menyokong pembangunan Stesen Jana Kuasa Southern Power Generation (SPG) di Pasir Gudang pada tahun 2022, yang kemudiannya dikenali sebagai Sultan Ibrahim Power Plant. 

Stesen jana kuasa terbabit merupakan loji jana kuasa komersial pertama di dunia menggunakan turbin gas berteknologi paling cekap dihasilkan oleh General Electric (GE). 

Dengan beroperasinya stesen jana kuasa tersebut, ia secara tidak langsung merancak dan menggalakkan lagi usaha pelaburan dari dalam dan luar negara.

DYMM Sultan Johor juga sangat prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama ketika bencana melanda.

Buktinya baginda dan keluarga sering menyantuni rakyat jelata untuk melihat sendiri situasi, mendengar keluh kesah dan mengambil berat terhadap kesulitan yang dialami mangsa bencana.

Sikap prihatin yang ada dalam diri turut mendorong baginda untuk sering menghulurkan bantuan kepada golongan berkeperluan. 

Sebagai tanda prihatin terhadap kebajikan rakyat, baginda mengasaskan Yayasan-Yayasan DiRaja Johor seperti Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Raja Zarith Sofiah, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Yayasan Sultanah Fatimah dan Yayasan Sultanah Rogayah.

Penubuhan Yayasan tersebut bertujuan membantu dan membangun taraf hidup rakyat dari aspek ekonomi, pendidikan, kebajikan, biasiswa, perubatan, kesenian, pemerkasaan wanita dan kanak-kanak serta bantuan kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Peranan yang dimainkan baginda dalam hal ehwal perkembangan kelestarian persekitaran, ekonomi dan sosial di negeri Johor telah menjadikan negeri Johor antara negeri termaju di negara ini.

 

Categories
Berita Umum
Subscribe