Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 2 Dis 2023 – Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor telah menyampaikan anugerah Profesor Emeritus kepada Profesor Ts. Dr. Ismail Abdul Rahman ketika berlangsungnya Sidang Satu Istiadat Konvokesyen UTHM ke-23 yang diadakan pada 2 Disember 2023.

UTHM menganugerahkan gelaran tersebut bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan.

Graduan ijazah doktor falsafah dalam bidang Building Engineering dari University of Manchester, United Kingdom itu berpengalaman luas dalam bidang pendidikan kejuruteraan awam Institusi Pengajian Tinggi dengan pengalaman hampir empat dekad dalam pengajaran kejuruteraan dan pentadbiran akademik.

Selain penerbitan artikel jurnal, kertas persidangan dan buku, beliau turut bergiat aktif sebagai ahli pasukan dalam penghasilan reka cipta, inovasi dan paten. 

Antara pengiktirafan tertinggi yang diperoleh beliau adalah pernah memenangi pingat Emas dan Anugerah Khas dalam Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2015) melalui projek SWID Web (Solid Waste Illegal Dumping Web).

Anak kelahiran Muar, Johor itu juga telah menyelia ramai pelajar pascasiswazah dalam bidang kejuruteraan awam di peringkat sarjana dan doktor falsafah, selain turut dilantik sebagai pemeriksa luar dan dalam bagi peperiksaan lisan (viva voce) pelajar penyelidikan. 

Beliau turut dilantik sebagai pengucaptama bagi pelbagai persidangan bertaraf antarabangsa, selain menjadi rujukan penyelidik dalam dan luar UTHM berkaitan kaedah menulis artikel jurnal berindeks Scopus.  

Prof. Ismail juga mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan universiti antaranya pernah memegang jawatan pengurusan utama seperti Ketua Penerbit, Dekan Pusat Pengajian Diploma, Dekan Pusat Pengajian Siswazah sehinggalah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNCAA) dari 2018 sehingga tahun 2020. 

Antara sumbangan terbesar semasa memegang jawatan TNC (Akademik dan Antarabangsa), beliau berjaya meningkatkan enrolmen pelajar antarabangsa dengan membawa hampir 200 pelajar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk mengikuti program pascasiswazah di UTHM. 

Selain itu, beliau antara pasukan pengurusan universiti yang membantu UTHM mendapatkan lima bintang dalam penarafan QS Stars Rating melalui sumbangan idea menambah bilangan staf antarabangsa sebagai pensyarah dan pasca kedoktoran.  

 Selain itu, kecemerlangan dan ketokohan beliau turut dilihat oleh pihak luar,  yang mana beliau telah dilantik sebagai pengerusi bagi pembangunan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi (B.Tech) di bawah Malaysian Technical University Network (MTUN). 

Hasilnya dalam tempoh enam bulan, 10 program B.Tech telah diluluskan oleh Jabatan Pengajian Tinggi pada tahun 2020 bagi memberi peluang kepada lepasan diploma kolej vokasional melanjutkan pengajian di universiti di bawah MTUN.

Program tersebut telah direka bentuk untuk menghasilkan pelajar berciri usahawan dan tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan kerajaan atau swasta semata.  

Kepakaran Prof. Ismail turut diiktiraf apabila beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Concrete Society of Malaysia (CSM) pada tahun 2010 hingga 2011. 

Selain itu, beliau diiktiraf sebagai ‘Profesional Technologist’ dalam bidang Building and Construction Technology pada tahun 2018. 

Antara sumbangan besar beliau ialah menjadi pengasas dan ketua editor International Journal of Sustainable Construction Engineering and Technology (IJSCET) sehingga kini dan telah mendapat pengindeksan Scopus dan Web of Science (WoS). 

Kepakarannya dalam bidang kejuruteraan awam turut diperakui oleh pihak luar apabila beliau telah dilantik sebagai Ketua Perunding Projek Perundingan Pembangunan Kurikulum bagi lima program Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading. 

Projek perundingan selama enam tahun yang bernilai RM5 juta itu telah dianugerah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).  

Beliau berpegang teguh kepada prinsip bahawa tiada jalan pintas untuk mencipta kejayaan kecuali bekerja keras dan bertawakal kepada Tuhan yang satu.  

Setelah lama bekerja keras dan menyumbang bakti khususnya dalam bidang pendidikan peringkat pengajian tinggi, Prof. Ismail akhirnya dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor pada tahun 2016. 

Kecemerlangan dan ketokohan beliau diiktiraf masyarakat apabila beliau dianugerahkan sebagai ‘Tokoh Maal Hijrah’ peringkat daerah Batu Pahat pada tahun 2018. 

Beliau kini telah bersara wajib namun masih gigih menyumbang khidmat nasihat, kepakaran dan pengalaman selagi mana kudrat mengizinkan.