Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 3 Dis 2023 – Seramai 4837 graduan merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (135), sarjana (314), sarjana muda (3543) dan diploma (845) dirai dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-23 yang diadakan pada 2 hingga 7 Disember 2023.

Canselor UTHM, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menyempurnakan sidang khas istiadat konvokesyen yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk, semalam.

Pada sidang tersebut, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan baginda dalam kepimpinan lestari kepada UTHM, Bangsa Johor dan Malaysia.

Turut berangkat, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor.

Hadir sama, Pro-Canselor UTHM, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi; Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor; Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM dan Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM.

Sementara itu, sidang satu istiadat konvokesyen juga turut menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Ts. Dr. Ismail Abdul Rahman bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pro Canselor UTHM, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani.

Beberapa anugerah seperti Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Canselor, Anugerah Tesis Terbaik Pascasiswazah (Ijazah Kedoktoran), Anugerah Tesis Terbaik Pascasiswazah (Sarjana Penyelidikan), Anugerah Tan Sri Dato’ Paduka Hajjah Aishah Ghani, Anugerah Akademik Yayasan UTHM, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Khas Alumni UTHM (Kategori Akademik), Anugerah Kecemerlangan Lembaga Jurutera Malaysia, Anugerah UTHM Holdings dan Anugerah Wakaf dan Endowmen turut diberikan kepada graduan terpilih.

Bagi merai graduan dan memeriahkan lagi Konvokesyen UTHM ke-23, penganjuran Festival Konvokesyen 2023 (FESKON’23) yang sarat dengan pelbagai aktiviti dan program dijangka bakal menarik ribuan pengunjung ke UTHM.

Turut diadakan, Majlis Pemakaian Hud Pascasiswazah yang bertujuan merai kejayaan graduan ijazah sarjana dan doktor falsafah secara penyelidikan bersama penyelia masing-masing pada 30 November 2023.

Dengan berlangsungnya istiadat konvokesyen kali ke-23 ini maka jumlah alumni UTHM mencatatkan penambahan menjadikan bilangannya sebanyak 57,895 orang.