Konvo UTHM: 13 kakitangan Prasarana terima Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Pengangkutan Rel

Oleh Hanita Sakiran, Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid

BATU PAHAT – Seramai 13 kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Pengangkutan Rel ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kali ke-23 pada 2 Disember 2023 lalu.

Program ijazah sarjana di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan itu dilaksanakan dengan kerjasama UTHM Education & Training (EduTrain).

Menurut Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor, keberhasilan kerjasama antara UTHM dan Prasarana merancakkan lagi perkongsian industri-akademia dalam menghasilkan profesional yang sangat terlatih.

Tambah beliau, usaha bersama itu dapat memacu kemajuan dan kepakaran dalam bidang rel, selain memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan sistem pengangkutan rel negara.
“Kejayaan ini mencerminkan kerjasama kukuh di antara Prasarana sebagai pemain utama industri pengangkutan rel di Malaysia dan UTHM dalam mempertingkatkan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan pengangkutan rel.
“Kejayaan ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Prasarana dalam menyokong perkembangan profesional staf mereka dan menyumbang kepada kemajuan industri rel di Malaysia,” katanya.

Kerjasama seumpama itu direalisasikan dengan usaha anak syarikat UTHM iaitu UTHM Education & Training (UTHM EduTrain) sebagai wahana dalam mengendalikan operasi pelaksanaan program yang dilaksanakan di Prasarana Rapid Rail Subang.

Dalam usaha memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan dan komitmen pelajar program Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Pengangkutan Rel dari Kumpulan Prasarana ini, pihak EduTrain telah menaja sumbangan hadiah kecemerlangan bagi UTHM EduTrain Industry Outstanding Student Award kepada para penerima anugerah.

Hadiah berupa wang tunai bernilai RM2,200 sijil serta medal telah disampaikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim ketika berlangsungnya Majlis Pemakaian Hud Graduan Pascasiswazah 2023 pada 30 November lepas.

Dua pelajar yang juga kakitangan Prasarana berjaya merangkul Anugerah UTHM EduTrain Industry Outstanding Student Award iaitu Ts. Muhammad Aizuddin Azahari di tempat pertama manakala Ts. Erwan Muhammed Ma’asus di tempat kedua.

Menurut kedua-duanya, program ini berupaya membuka peluang kepada kakitangan untuk meneroka bidang baharu dalam industri pengangkutan rel di Malaysia sekali gus mampu meningkatkan kepakaran jurutera dan tenaga mahir Prasarana dalam mempelopori industri pengangkutan rel sebagai penyedia teknologi pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengurus Besar UTHM EduTrain, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Hisyam Mohd Hashim pula berkata peranan UTHM EduTrain adalah satu langkah bagi menyahut seruan UTHM dan Malaysia dalam memperkemaskan lagi serta menyediakan platfom yang kondusif kepada tenaga kerja yang sedang bertugas di sektor utama negara.

Categories
Teknologi dan KejuruteraanTeknologi Kejuruteraan
Subscribe